Breaking News

6 TEMPAT PEMBELAJARAN MENARIK DI NEGERI SELANGOR

Destinasi Ideal di Sekitar Negeri untuk Kanak-Kanak Berhibur sambil Belajar Sambil Ditemani Keluarga

Lawatan ke destinasi yang menawarkan hiburan sambil belajar merupakan aktiviti yang dapat memberikan pengalaman yang menggembirakan dan bermakna untuk kanak-kanak. Berikan mereka peluang untuk terokai dunia luar dan kunjungi destinasi pembelaran di Negeri Selangor. Anda boleh memilih tempat seperti muzium, zoo atau tempat interaktif yang boleh meningkatkan daya pembelajaran mereka sambil mereka menerokai sesuatu yang baharu. Dalam artikel ini, Tourism Selangor telah menyenaraikan 6 tempat pembelajaran untuk dilawati bersama anak anda di Negeri Selangor setelah tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti! (#ImagineNowExperienceSoon).

1)    Lakon Peranan Prospek Kerjaya di KidZania, Mutiara Damansara

KidZania, Mutiara Damansara merupakan sebuah pusat “edutainment” yang menggalakkan pembelajaran melalui pengalaman permainan lakon peranan prospek kerjaya yang interaktif dalam persekitaran yang menyeronokkan. Mereka dapat merasai pengalaman bekerja yang realistikdalam replika bangunan yang berfungsi sebagai bandar sebenar. Lebih daripada 70 jenis pekerjaan yang mereka boleh cuba di sini antaranya adalah menjadi seorang jururawat, ahli bomba, polis, juruterbang, peguam dan banyak lagi! Aktiviti seperti ini sememangnya memberi pengalaman pembelajaran yang positif buat kanak-kanak.

2)    Terokai Dunia Haiwan di Zoo Negara

Zoo Negara merupakan zoo yang terbesar di Malaysia, terletak di Ampang, Selangor. Zoo Negara sememangnya destinasi yang sesuai untuk membawa kanak-kanak agar mereka dapat mengenalilebih 5,000 jenis haiwan terdiri daripada kira-kira 400 spesis di sini. Sudah pasti kanak-kanak akan terhibur melihat gelagat haiwan-haiwan yang terdapat di zoo ini; dan pengalaman menyaksikan aksi zirafah, gajah, buaya, harimau dan singa tentunya mengujakan! Selain itu, kanak-kanak akan dapat melihat gelagat panda yang comelbernama Xing Xing, Liang Liang dan Yi Yi di Zoo Negara ini.

3)    Mempelajari budaya asal Negeri Selangor di Mah Meri Cultural Village

Mah Meri merupakan salah satu suku Orang Asli yang terdapat di Malaysia, yang sangat dikenali dengan keunikan kesenian mereka seperti ukiran topeng dan kraftangan lain. Mah Meri Cultural Village adalah sebuah perkampungan orang asli yang terletak di Pulau Carey, Kuala Langat. Di sini, kanak-kanak boleh didedahkan kepada suasana kampung Orang Asli yang lengkap dengan pakaian, barangan serta tarian kebudayaan. Selain itu, terdapat juga mini galeri yang mempamerkan pelbagai koleksi berkaitan dengan masyarakat Mah Meri. Lawatan ke sini pasti dapat memberikan pendedahan yang luas kepada kanak-kanak dalam menyelami budaya dan kesenian masyarakat Mah Meri yang unik dan tersendiri.

4)    Dekati haiwan di Farm in the City

Farm in the City merupakan sebuah“petting zoo” yang terkenal di Malaysia. Terletak di Seri Kembangan, anda boleh membawa anak anda ke Farm in the City untuk lebih mendekati haiwan-haiwan di sini. Kanak-kanak bukan sahaja boleh menyaksikan gelagat haiwan, malah juga boleh memegang, bermain dan memberi makan kepada haiwan-haiwan seperti kura-kura, rusa dan arnab sambil dipantau oleh renjer zoo. Selain itu, kanak-kanak dapat menikmati pengalaman “pony ride” dan menonton persembahan burung Kakak Tua di Kampung Mahmood. Pengalaman ini pasti akan memberikan kegembiraan buat si kecil!

5)    Aktiviti fizikal di Camp 5 Climbing Gym

Sekiranya si kecil anda suka berlari, memanjat dan melakukan aktiviti lasak, Camp5 Climbing Gym merupakan tempat yang sesuai buat mereka melakukan aktiviti fizikal dalam persekitaran yang lebih selamat! Terletak di 1 Utama Shopping Centre, tempat ini merupakan pusat “rock climbing” tertutup dan dikendalikan oleh staf profesional dan menawarkan lokasi yang terkawal dan selamat. Di sini, anak anda boleh merangsangkan kecerdasan minda mereka sekali gus meningkatkan keyakinan dalam berdepan dengan sebarang cabaran. Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah “rock climbing” yang mempunyai pelbagai ketinggian iaitu 8m-14m dan 14m-16m tinggi.

6)    “Petting zoo” di G2G Animal Garden

Terletak di MAEPS Serdang, G2G Animal Garden adalah sebuah taman pameran dan“petting zoo” yang baru dibuka pada tahun 2017. Ia menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang berkonsepkan pelancongan eko dan agro yang memberikan pengalaman yang menyeronokkan buat kanak-kanak. Mereka juga berpeluang untuk berinteraksi bersama lebih daripada 70spesis haiwan tempatan mahupun eksotik di sini secara lebih dekat. Aktiviti seperti ini akan memberikan pengalaman yang bernilai buat mereka!

Gabungkan pengembaraan kanak-kanak dengan elemen pendidikan atau “edutainment“ kerana ianya bukan sahaja dapat memberikan mereka keseronokan malah dapat memperluas ilmu pengetahuan mereka dalam mempelajari sesuatu yang tidak dapat dilakukan di rumah mahupun di sekolah. Pengalaman seperti ini akan menjadi pengalaman yang amat bernilai buat mereka untuk masa akan datang. Bawalah anak-anak anda ke destinasi tersenarai di atas selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti dan rancang mulai sekarang! (#ImagineNowExperienceSoon).

Namun, anda diingatkan untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Nasional denganmemastikan penjarakan sosial, memakai topeng muka setiap masa, gunakan pembasmi kumansecara kerapserta daftar masuk melalui aplikasi mudah alih "SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”ketika memasuki premis pelancongan di Negeri Selangor.

Untuk informasi lanjut,layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Baca juga : Kolaborasi  Promosi Pelancongan Antarabangsa

2 comments: