Breaking News

6 SENIBINA UNIK DI NEGERI SELANGOR

Terokai Keunikan Bangunan dengan Senibina yang Mengagumkan di Negeri Selangor #ImagineNowExperienceSoon


Sekiranya anda mencari lokasi yang mempunyai senibina yang unik dan menarik;apa kata anda luangkan masa untuk melihat sendiri keunikan bangunan yang memukau dan mempesonakan di Negeri Selangor bila tiba masa yang sesuai kelak. Kebanyakan bangunan yang dibina adalah diilhamkan daripada warisan dan kepercayaan masyarakat tempatan. Di sini, Tourism Selangor menyenaraikan 6 senibina unik yang terdapat ni Negeri Selangor untuk anda kunjungi di masa hadapan! - #ImagineNowExperienceSoon!

1)    Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz terletak di Bandar Diraja Klang. Dahulunya dikenali sebagai Bangunan Sultan Suleiman Shah, Galeri ini amat mengagumkan dari segi senibina luarannya, serta dalamannya yang kaya dengan elemen sejarah dan warisan Kesultanan Selangor yang berasal dari tahun 1766. Galeri ini dibina megah pada tahun 1909 dan mempunyai reka bentuk kolonial yang dibina oleh arkitek Inggeris, Arthur B. Hubback. Galeri ini telah dirasmikan oleh D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan dibuka kepada umum pada 1 November 2007. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman  sejarah yang berharga di sini!

2)    Kuil Sri Shakti Devasthanam, Kuala Selangor

Kuil Sri Shakti Devasthanam merupakan satu-satunya kuil di dunia yang memanifestasikan seluruh 51 Shakti. Dalam ruangan tersembunyi di sini,  terdapat 96 tiang berukir yang menggambarkan 96 prinsip agama Hindu. Kuil ini terletak lebih kurang 9.5 kilometer dari Daerah Kuala Selangor,dan dibina sesuai mengikut kitab suci seperti Veda, Agamas dan Sirpa (senibina) Sastras. Senibina ini juga menggabungkan semua struktur Kuil Amman yang sesuai menurut Agama Hindu.Selain itu, pintu utama kuil ini terpahat granit setinggi 18 kaki dengan berat hingga 4 tan, yang mana ianya diukir oleh seorang tukang ukir yang mahir dari Mahabalipuram di Tamil Nadu, India.

3)    Istana Bandar, Banting

Istana Bandar yang juga dikenali sebagai Istana Alaedin telah dibina pada tahun 1899 yang didirikan berdekatan dengan Masjid Bandar, terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Banting. Istana Bandar mempunyai struktur dua tingkat yang merangkumi pelbagai bilik termasuk Kolam Mandi Diraja, Balai Rong Seri, Kamar Santap Diraja dan lain-lain lagi. Hampir keseluruhan struktur istana ini diperbuat daripada batu bata dan motar kapur. Selain itu, tangga dan pintunya adalah diperbuat daripada kayu cengal. Menariknya lagi, istana ini menampilkan senibina Islam dari India dan Timur Tengah yang difokuskan pada elemen ukiran dan teknik pahat. Kalau anda tertanya-tanya tentang keindahan Istana Bandar ini, jangan lepaskan peluang untuk singgah di sini bersama rakan-rakan dan keluarga anda satu masa nanti!

4)    Kuil Wat Chetawan, Petaling Jaya

Jom kita lawati Kuil yang akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang berdekatan dengannya!Wat Chetawan merupakan sebuah Kuil Buddha yang terkenal di Negeri Selangor dan terletak di Jalan Gasing, Petaling Jaya. Kuil ini dirasmikan oleh Raja Bhumibol Adulyadej pada tahun 1957. Struktur senibinanya mempunyai unsur-unsur pengaruh Kerajaan Siam pada era tersebut. Kuil ini siap dibina pada tahun 1962, dihiasi dengan jubin kaca berwarna dan mempunyai atap bertingkat yang dikelilingi chor fahs; melambangkan senibina kuil Buddha yang menakjubkan. Pada saat ini, Wat Chetawan adalah salah satu kuil yang masih berdiri megah dan lengkap dengan struktur yang sangat menarik untuk anda kunjungi!

5)    Dashbox Hotel, Cyberjaya

Dashbox Hotel yang terletak di Cyberjaya merupakan salah satu lokasi yang harus anda singgahi untuk melihat sendiri keindahan persekitarannya! Dari jauh lagi anda akan dapat lihat struktur arnab berwarna hijau bersaiz gergasi yang menjadi lambang utama hotel ini. Hotel ini menawarkan pelbagai konsep bilik dengan kebanyakannya ditawarkan dengan pilihan lokasi berhadapan dengan fasiliti kolam renang. Sememangnya adalah menyeronokkan untuk menginap di sini terutamanya keluarga yang mempunyai anak kecil. Selain itu, anda boleh menikmati pemandangan yang sungguh indah pada waktu malam yang diterangi cahaya lampu yang menyinari kawasan persekitaran yang sungguh damai.

6)    Movenpick Hotel and Convention Centre, KLIA

Mövenpick Hotel & Convention Centre, KLIAmerupakan salah sebuah hotel terkemuka di Malaysia. Hotel dengan struktur senibina yang luar biasa ini dibina khas bagi mencerminkan keunikan budaya Malaysia. Menerap elemen senibina Islam, bahagian luar hotel ini mempunyai corak yang melambangkan seni geometri Islam dan tulisan Kufic, iaitu kaligrafi Islam terawal yang digunakan dalam kitab suciAl-Quran.Selain itu, terdapat sebuah taman yang mempunyai keluasan 7.2 hektar di sini yang menjanjikan persekitaran yang menghijau dan menenangkan. Pastinya anda tidak akan menyesal apabila memilih untuk menginap di sini!

Menarik, bukan? Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menerokai destinasi yang telah disenaraikan di atas. Tidak perlu pergi jauh keluar negara; anda boleh saksikan sendiri keindahan bangunan atau senibina mengagumkan yang terdapat di sekitar Negeri Selangor. Di samping menghargai keunikan senibinanya, kita juga berpeluang untuk mendalami sejarah setiap bangunan tersebut. Rancang perjalanan anda dengan menyelitkan destinasi yang tersenarai di dalam jadual perjalanan anda ke Negeri Selangor selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak!- #ImagineNowExperienceSoon.

Walau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada semua rakyat Malaysia; sentiasa patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai topeng muka setiap masa, gunakan pembasmi kumansecara kerapdan daftar melalui aplikasi mudah alih "SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”ketika memasuki premis pelancongan di Negeri Selangor.

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Baca juga : 6 Tempat Pembelajaran Menarik Di Negeri Selangor

3 comments: