Breaking News

RM 2.55 JUTA BANTUAN KEWANGAN KEPADA PENGGIAT INDUSTRI PELANCONGAN DALAM PAKEJ KITA SELANGOR 2.0

                                                    Y.B. TUAN HEE LOY SIAN

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor


Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM551.56 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 dalam usaha membantu rakyat di Negeri Selangor yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, telah membuat pengumuman Pakej Kita Selangor 2.0 yang bertemakan ‘Bersama Menuju Kejayaan’ pada 9 Jun 2021 yang memperuntukkan sebanyak RM2.55 juta bantuan kewangan kepada penggiat industri pelancongan di Negeri Selangor mengikut pecahan inisiatif seperti berikut:-

1. Geran Bantuan Kewangan Program / Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor

  1. Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0
  2. Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan Negeri Selangor
  3. Bantuan Kewangan “One-Off” kepada 16 Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor

Pakej Ransangan dan bantuan kewangan bagi menangani kesan pandemik Covid-19 kepada industri pelancongan Negeri Selangor ini dilaksanakan bagi membantu mengalakkan penggiat industri untuk meneruskan aktiviti pelancongan di Negeri Selangor. Di samping itu, ianya diharap mampu mengembalikan semula hasil pendapatan pemain industri pelancongan secara amnya dan meningkatkan ekonomi Negeri Selangor secara khususnya. Selain itu, pelaksanaan bantuan ini mampu mempergiat pelaksanaan program promosi dan pemasaran industri pelancongan Negeri Selangor dalam menjadikan Negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancong dalam tempoh pasca Covid-19.

Perincian bantuan kewangan, Pakej Kita Selangor 2.0 untuk penggiat industri dalam sektor pelancongan adalah seperti berikut:-

1)    Geran Bantuan Kewangan Program / Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor

Geran bantuan kewangan berjumlah RM1,000,000.00 (RM1 juta) ini akan diberikan bagi  memulih dan menggalakkan semula sektor pelancongan di Negeri Selangor dengan memberikan insentif kewangan secara pengembalian kewangan (reimbursable financial assistance)  kepada penggiat industri pelancongan Negeri Selangor yang melaksanakan aktiviti promosi bagi menarik dan merancakkan semula industri pelancongan di Negeri ini. Amaun yang boleh dituntut adalah berdasarkan satu (1) penyertaan/ pelaksanaan, iaitu 50% daripada jumlah perbelanjaan sebenar ATAU mengikut kelayakan maksimum RM 20,000.00; yang mana yang lebih rendah.

2)    Baucar pelancongan Negeri Selangor 2.0

Program pemberian baucar pelancongan 2.0 ini meliputi pemberian sebanyak 20,000 unit baucar (RM50 untuk setiap 1 unit baucar) yang memperuntukkan sebanyak RM1,000,000.00 (RM1 juta). Pengagihan baucar pelancongan Selangor 2.0 ini akan dilaksanakan menggunakan kaedah e-wallet dan e-baucar bagi tujuan memastikan semua pihak berpeluang menikmati subsidi yang diberikan.

3)    Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan Negeri Selangor

Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor akan bekerjasama dengan pihak Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) dalam menganjurkan program latihan pendigitalan dan perniagaan atas talian. Latihan Pendigitalan Pembelajaran Pelancongan Negeri Selangor ini merupakan usaha Tourism Selangor untuk  membantu meningkatkan kesedaran, pengetahuan,  produktiviti dan pemasaran produk pelancongan secara atas talian dalam kalangan penggiat industri pelancongan. Jumlah keseluruhan bagi Program Latihan kepada penggiat industri ini berjumlah hampir RM 300,000.00.

4)    Bantuan Kewangan “One-Off” kepada 16 Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor

Fungsi dan tanggungjawab Persatuan-persatuan ini bagi menyokong dan membantu ahli-ahli dibawah naungannya untuk mengharungi tempoh pandemik Covid-19 ini adalah sukar dan mencabar tanpa bantuan dan sokongan tambahan dari pihak Kerajaan Negeri Selangor.  Justeru, bantuan kewangan secara “one-off”dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 240,000.00 akan diberikan kepada 16 Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor sebanyak RM15,000.00 setiap Persatuan bagi melaksanakan aktiviti atau program pelancongan dan merancakkan industri pelancongan di Negeri Selangor.

Baca juga : Selangor - Cultural DiversityAt Its Best

No comments