Breaking News

Kebaikan Saffron

 

Apa itu saffron?

Saffron merupakan sejenis rempah yang dihasilkan daripada stigma sejenis bunga yang bernama Crocus sativusBunga ini banyak terdapat di sekitar Asia Tengah dan ia telah ditanam sejak ribuan tahun dahulu. Ia banyak digunakan dalam masakan, perubatan, sebagai bahan pewarna dan juga perasa.

Stigma bunga saffron ini dikeringkan terlebih dahulu sebelum dipasarkan. Biasanya, ia berwarna merah tua dan akan mengeluarkan warna kuning pekat apabila direndam di dalam air. Ia menjadi antara bahan yang mesti ada dalam masakan masyarakat di sekitar Timur Tengah dan juga Asia Tengah. Rempah ini juga dianggap sebagai antara jenis rempah yang paling mahal di dunia.

Harganya yang mahal ini disebabkan oleh proses untuk mendapatkannya yang agak sukar. Ini kerana kesemua kerja-kerja menuai stigma bunga saffron ini hanya dilakukan dengan tangan secara manual.

Terdapat beberapa kebaikan saffron yang telah dikaji dan diakui. Antara kebaikan rempah ini ialah:

1. Sebagai antioksidan

Saffron mengandungi pelbagai sebatian tumbuhan yang bertindak sebagai antioksidan. Antara sebatian tersebut ialah seperti crocin, crocetin, safranal dan kaempferol. Crocin dan crocetin dikatakan mempunyai sifat antidepresan dan melindungi sel otak daripada kerosakan progresif.

2. Berpotensi memperbaiki mood

Dalam satu analisis ke atas lima kajian, suplemen saffron dilihat jauh lebih berkesan daripada plasebo dalam merawat gejala kemurungan ringan hinggalah ke tahap sederhana. Selain itu, ada juga kajian yang mendapati bahawa pengambilan 30 miligram saffron setiap hari mempunyai kesan yang sama seperti ubat-ubatan bagi rawatan depresi.

Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan sebelum saffron ini boleh dicadangkan sebagai rawatan dalam merawat depresi.

3. Mempunyai sifat untuk melawan kanser

Saffron diketahui mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi. Antioksidan ini boleh membantu meneutralkan radikal bebas berbahaya yang menjadi salah satu punca berlakunya kanserDalam kajian makmal, saffron dan sebatiannya dilihat telah membunuh atau merencatkan pertumbuhan sel kanser kolon secara selektif, tanpa membahayakan sel sihat yang lain. 

Kesan ini juga dapat dilihat pada sel-sel kanser lain seperti sel kanser kulit, prostat, serviks, paru-paru dan payudara.

Namun, masih banyak kajian lanjutan diperlukan memandangkan kajian ini masih lagi kurang dijalankan ke atas manusia.

4. Boleh membantu mengurangkan simptom PMS

Ada kajian yang menunjukkan bahawa saffron mungkin boleh membantu sindrom pra haid (PMS) wanita.

Dalam kalangan wanita berumur 20 hingga 45 tahun, pengambilan 30 miligram saffron setiap hari lebih berkesan berbanding plasebo dalam merawat sindrom PMS seperti sakit kepala, mudah marah dan rasa mengidam.

5. Membantu mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, antara kebaikan saffron ialah ia boleh membantu mengurangkan pengambilan snek dengan cara menyekat selera makan.

Dalam satu kajian yang telah dijalankan selama lapan minggu, pengambilan suplemen saffron membantu mengurangkan selera makan, indeks jisim tubuh, lilitan pinggang, dan jumlah jisim lemak.

Ada teori yang menyatakan bahawa saffron meningkatkan mood anda, sekali gus mengurangkan keinginan anda untuk mengambil snek.

6. Boleh bertindak sebagai bahan afrodisiak

Apa itu afrodisiak? Afrodisiak merupakan bahan-bahan yang boleh membantu merangsang keinginan seksual seseorang individu.

Kajian telah menunjukkan bahawa saffron mungkin mempunyai sifat afrodisiak, terutamanya dalam kalangan mereka yang mengambil ubat antidepresan.

Selain itu, analisis enam kajian menunjukkan bahawa pengambilan saffron boleh meningkatkan fungsi ereksi, libido, dan kepuasan keseluruhan secara signifikan.

7. Boleh memperbaiki memori pesakit Alzheimer

Antara kebaikan saffron yang kurang diketahui ramai ialah manfaatnya dalam memperbaiki fungsi otak.

Kandungan antioksidan yang terdapat pada saffron berpotensi memperbaiki fungsi kognitif dan memori pesakit yang menghidap Alzheimer.

Baca juga : 10 Makanan Penambah Tenaga

2 comments: