5 Bahaya Menanti Jika Menahan Kencing
Siapa yang tidak pernah tahan air kencing, kan? Kadangkala, kita terpaksa menahan diri daripada buang air kecil ketika dalam mesyuarat, menonton wayang atau sedang melalui perjalanan yang jauh. Namun, jika dilakukan dengan kerap, tabiat menahan air kecil ini boleh mengundang masalah.
Buang air kecil merupakan satu perkara yang penting. Buah pinggang kita akan menapis lebihan air dan bahan buangan keluar daripada darah ke dalam urin. Kesemua air kencing yang ditapis ini lama-kelamaan akan berkumpul di dalam pundi kencing.
Secara normalnya, pundi kencing kita boleh menyimpan sebanyak 1-2 cawan air kencing. Tetapi, apabila kita tahan kencing, pundi kencing akan mengembang untuk menyimpan lebih banyak urin.
Walau bagaimanapun, sejauh manakah tabiat menahan kencing ini boleh memakan diri? Jom ikuti penjelasan kami di bawah.
Kadangkala, disebabkan tuntutan kerja dan sebagainya, kita terpaksa menahan kencing untuk satu tempoh yang lama. Namun, kesan amalan menahan air kencing ini masih belum difahami secara sepenuhnya oleh pakar. Walaupun begitu, kita haruslah mempunyai tabiat membuang air yang sihat.
Kita tidak perlu membuang air secepat mungkin apabila terasa hendak kencing, namun elakkan menahan air kencing dengan kerap dan terlalu lama. Amalan ini mungkin tidak baik untuk kesihatan anda.
Di bawah, kami senaraikan beberapa bahaya jika anda kerap tahan kencing dalam tempoh masa yang panjang!
1. Masalah inkontinens urin
Amalan menahan kencing terlalu lama boleh menyebabkan otot lantai pelvis menjadi lemah. Lambat-laun, masalah ini boleh menyebabkan inkontinens urin.
Inkontinens urin merupakan satu masalah yang boleh menyebabkan ‘kebocoran’ air kencing ketika anda bersin atau batuk.
Masalah ini bukan sahaja boleh buatkan anda tidak selesa, ia juga memalukan. Kadangkala, anda terpaksa berlari ke tandas kerana rasa ingin kencing secara tiba-tiba.
2. Batu karang disebabkan jarang buang air
Tabiat tahan kencing sudah lama dikaitkan dengan penyakit batu karang.
Selain itu, amalan lain seperti kurang minum air dan banyak mengambil makanan yang manis turut menjadi punca utama penyakit ini.
Menahan air kencing boleh menyebabkan batu karang terbentuk dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah penyakit ini.
Oleh sebab itu, hati-hatilah dan elakkan menahan kencing dalam satu tempoh masa yang lama.
3. Tahan kencing akan buatkan pundi kencing meregang
Menahan air kencing dalam masa yang lama akan menyebabkan pundi kencing meregang dan menjadi lemah.
Selalunya, pundi kencing manusia akan meregang apabila ia menyimpan urin dan kembali pada bentuknya yang asal setelah anda membuang air.
Walau bagaimanapun, tabiat menahan kencing akan menyebabkan punci kencing hilang keanjalannya.
Akibatnya, bentuk asal pundi kencing tidak dapat dikekalkan. Dalam kes yang teruk, pesakit mungkin perlu menggunakan kateter untuk buang air kecil.
4. Jangkitan saluran kencing
Risiko untuk menghidap jangkitan saluran kencing atau UTI juga meningkat apabila anda menahan kencing.
Di dalam urin, terdapat banyak bakteria yang sedang menunggu masa untuk dikeluarkan daripada badan.
Namun, apabila air kencing ditahan, bakteria ini mungkin akan berganda dan boleh menyebabkan jangkitan pada saluran urin.
UTI boleh menyebabkan rasa sakit dan ketidakselesaan kepada penghidapnya. Jika ia pernah berlaku kepada anda, ada kemungkinan untuk ia berlaku lagi pada masa hadapan.
5. Rasa sakit kerana tahan buang air kecil
Individu yang kerap menahan kencing lama-kelamaan akan rasa sakit pada kawasan pundi kencing atau buah pinggang.
Malah, apabila mereka ke tandas untuk menyelesaikan hajat, rasa sakit itu masih ada.
Perkara ini berlaku disebabkan otot pada kawasan saluran kencing. Apabila anda menahan kencing dengan lama, otot ini perlu bekerja lebih masa untuk menahan kencing daripada melimpah.
Apabila air kencing telah keluar, otot tersebut masih belum lagi relaks dengan sepenuhnya. Malah, ada juga yang akan alami masalah kekejangan pada kawasan pelvis selepas buang air kecil.
Bolehkah pundi kencing meletup jika menahan kencing?
Salah satu mitos yang kerap kita dengar ialah pundi kencing akan meletup jika tahan air kecil dalam satu tempoh yang lama.
Walaupun kedengaran pelik, kondisi ini boleh berlaku namun kebarangkaliannya amat rendah.
Selalunya, apa yang akan berlaku ialah individu tersebut akan terkencing secara tidak sengaja kerana terlalu lama menahan air kecil.
Jika pundi kencing meletup, urin mungkin akan masuk ke dalam rongga perut. Oleh sebab itu, anda perlukan pembedahan untuk memperbaiki masalah ini.
Kesimpulan
Sama seperti minum air dengan mencukupi, buang air kecil secara kerap juga amat penting untuk mengelakkan sebarang masalah pada saluran urinari.
Jika anda perlu menahan kencing pada masa tertentu seperti di dalam mesyuarat, ketika menonton wayang dan sebagainya, ia mungkin tidak akan mencetuskan masalah pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, jika ia dilakukan dengan kerap, risiko untuk anda mengalami jangkitan dan juga komplikasi lain akan turut meningkat.
Oleh sebab itu, pastikan anda mempunyai tabiat buang air kecil yang baik. Sesiapa sahaja yang mempunyai masalah untuk buang air kecil haruslah berjumpa doktor secepat mungkin.
Baca juga : Masalah kurang berat badan
Terima kasih atas perkongsian ini. Sangat bermanfaat :)
ReplyDeleteBetul jgn tahan kencing ya
ReplyDeleteSangat berisiko sebenarnya.
ReplyDeleteHi Cik Nor, dah baca.. habit tak elok tuu , Me tak nak tahan kencing... TQ Cik Nor for this sharing...
ReplyDeletebahayanya tahan kencing
ReplyDelete