Breaking News

PERMOHONAN UNTUK GERAN BANTUAN KEWANGAN PROGRAM / AKTIVITI PELANCONGAN NEGERI SELANGOR DIBUKA BERMULA 23 SEPTEMBER INI!

Peruntukan Sebanyak RM 1 Juta Disalurkan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 untuk Industri Pelancongan Negeri Selangor

Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 9 Jun lalu memperuntukkan sebanyak RM 2.55 juta untuk industri pelancongan Negeri ini, khusus bagi menangani impak pandemik Covid-19.

Antara insentif yang terkandung dalam Pakej ini termasuk Geran Bantuan Kewangan Program / Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor dengan jumlah peruntukan RM 1 juta, Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 dengan jumlah peruntukan RM 1 juta, Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan Negeri Selangor berjumlah RM 300,000.00, dan Bantuan Kewangan “One-Off” yang telah disalurkan secara maya kepada 17 Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor pada 9 September lalu.

Berita baik buat semua; permohonan untuk Geran Bantuan Kewangan Program / Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor akan mula dibuka bermula 23 September hingga 31 Disember ini  menerusi pautan Google Form yang boleh diakses melalui imbasan kod QR yang tertera. Inisiatif ini bertujuan untuk memulih dan menggalakkan program pelancongan bagi mempromosikan industri pelancongan Negeri Selangor di ambang pandemik Covid-19 yang semakin menghampiri ke fasa endemik.

Inisiatif ini dibuka kepada penggiat industri pelancongan yang layak di Negeri Selangor yang ingin menganjurkan, atau menyertai program atau aktiviti pelancongan yang mempromosikan industri pelancongan Negeri. Geran Bantuan Kewangan ini akan dilaksanakan melalui kaedah pengembalian kewangan (reimbursable financial assistance), dan jumlah permohonan adalah berdasarkan kepada satu (1) penyertaan atau pelaksanaan,iaitu 50% daripada jumlah perbelanjaan sebenar ATAU mengikut kelayakan maksimum RM20,000.00 -- yang mana lebih rendah.



Pelaksanaan segala inisiatif yang terkandung dalam Permohonan Geran Bantuan Kewangan yang telah diluluskan pula perlu diselesaikan dalam tempoh dari 1 Oktober 2021 sehingga 30 Jun 2022. Ianya boleh dilaksanakan menerusi Program Familiarization (FAM) Trip, Misi Jualan, Pameran Pelancongan, Acara Pelancongan MICE, atau sebarang pengisian lain yang bersesuaian bagi merancakkan semula sektor pelancongan Negeri Selangor.

Inisiatif ini dijangka akan menarik minat dan penyertaan dari Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor yang berdaftar dan diiktiraf di Malaysia, Syarikat Agensi Pelancongan dan Pengembaraan di Negeri Selangor yang berdaftar dan dilesenkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pengusaha Homestay di Negeri Selangor yang berlesen dan berdaftar di bawah pihak MOTAC, pengusaha dalam sektor pelancongan MICE yang berdaftar dan berlesen di Negeri Selangor, para Hos Komuniti yang berdaftar dan berlesen di Negeri Selangor, serta Persatuan Komuniti atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berdaftar di Negeri ini.

Usah lepaskan peluang ini, dan bersama berganding baru dengan pihak Tourism Selangor ke arah melestarikan industri pelancongan Negeri.Semak syarat kelayakan untuk memohon dengan mengimbas kod QR yang tertera atau untuk sebarang informasi lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel.Anda juga boleh menghantar e-mel ke geranbantuankitaselangor@tourismselangor.orguntuk sebarang pertanyaan.

Baca juga : 5 Jenis Tempat Di Negeri Selangor Yang Di Gemari Rakyat Malaysia

3 comments:

  1. berita baik pada yang dah lama menanti

    ReplyDelete
  2. Bagus juga ambil peluang ni rancakkan semula aktiviti pelancongan di Selangor.

    ReplyDelete
  3. Kesempatan terbaik nih bagi pelancong.

    ReplyDelete