Apa Itu Endemik, Epidemik Dan Pendemik
Perbezaan antara ketiga-tiganya adalah sempadan jangkitan dalam populasi tersebut sama ada terhad kepada kawasan tertentu, merentas kawasan atau merentas negara.
1. Endemik adalah sebaran penyakit berulang kali atau berterusan berlaku dalam sesuatu populasi. Sebaran penyakit itu berlaku di sesuatu kawasan atau daerah tertentu sahaja dan tidak di tempat lain. Sebagai contoh, penyakit mulut dan tangan di Sarawak dan beberapa tempat lain atau demam malaria di beberapa tempat di Sabah.
2. Epidemik atau sering disebut sebagai wabak adalah apabila ramai dalam kalangan sesuatu populasi yang mendapat penyakit. Insiden penyakit tersebut melampaui bilangan jangkitan endemik. Ia juga berlaku di banyak kawasan dan secara tiba-tiba. Demam denggi adalah contoh penyakit epidemik kerana ia berlaku di beberapa tempat.
3. Manakala pandemik pula adalah epidemik berlaku di seluruh dunia melangkaui sempadan dan negara seperti mana penyakit yang disebabkan oleh virus influenza, SARS-CoV-2 dan HIV.
Konsep hidup bersama virus?
Kehidupan kita sebagai manusia memang tidak lari daripada kehadiran virus dan juga mikro organisma lain. Dalam hal Covid-19, virus SARS-CoV-2 tidak dapat kita bendung di awal penularannya. Ini ditambah dengan status pandemiknya yang mana perpindahan virus dari negara ke negara berlaku, maka sukar untuk menghentikan penyebarannya.
Kehadiran varian baru yang lebih mudah tersebar seperti varian Delta memburukkan lagi keadaan yang kita alami. Satu hal yang perlu kita fahami adalah virus ialah hidupan yang memerlukan perumah untuk berganda.
Jika kita mengelak dijangkiti, virus akan terhenti berganda. Semudah itu. Selain melalui pemvaksinan, mematuhi amalan memakai pelitup muka, mengelak berada di tempat sesak dan kerap membasuh tangan perlu diteruskan untuk tempoh lama bagi mengelak jangkitan.
Hakikatnya sekarang virus SARS-CoV-2 sudah berada di mana-mana di sekeliling kita. Varian pula mempunyai pelbagai kebolehan untuk berjangkit dan berbeza dalam menyebabkan keterukan penyakit. Matlamat virus adalah berganda dan berganda. Jika ia dapat berjangkit, tetapi akhirnya orang yang dijangkiti meninggal dunia, maka itu tidak akan menguntungkan virus.
Maka akan tiba juga ketikanya nanti virus berubah kepada varian yang mudah tersebar, tetapi jangkitannya tidak teruk. Ketika ini kita akan hidup bersama virus. Kes Covid-19 yang teruk atau kematian akan jadi lebih rendah.
Bersediakah Malaysia menuju ke arah endemik dan adakah atau bagaimanakah masyarakat mahu melaluinya?
Insya-Allah, dengan peratus vaksinasi yang tinggi, ada harapan Malaysia boleh menuju ke arah endemik. Kerjasama masyarakat sangat diperlukan untuk menjayakan harapan ini bagi melindungi kelompok yang tidak dapat divaksin.
Kelompok ini terutama kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun serta individu yang ada masalah dalam menghasilkan keimunan berkesan terhadap jangkitan atau disebut imunokompromi. Pada sudut yang lain pula, apabila ramai yang divaksinkan, virus yang ada tidak dapat berganda dan dipindahkan dengan cekap.
Virus akan lebih berjaya berganda dalam kalangan mereka yang tidak divaksinkan. Keengganan mendapatkan vaksin sebenarnya amat berbahaya kerana akan ada beberapa risiko seperti kemunculan varian baharu yang lebih teruk dalam kalangan mereka yang tidak divaksin.
Ini kerana, jika berlaku jangkitan terhadap mereka yang tidak divaksin, pergandaan virus boleh berlaku dan kemungkinan berlaku mutasi virus lebih tinggi seterusnya membentuk varian baharu.
Golongan ini akan merisikokan kanak-kanak serta mereka yang imunokompromi. Dalam kalangan mereka yang divaksinkan, kemungkinan berlaku pembentukan varian baharu amat kecil. Ini kerana pergandaan virus dapat ditindas lebih awal oleh sistem imun yang dijanakan selepas seseorang divaksin.
Kanak-kanak dan mereka yang tidak boleh divaksin ini mengharapkan mereka yang divaksin sebagai pendinding terhadap jangkitan SARS-CoV-2.
Ada kemungkinan endemik Covid-19 bertukar semula kepada pandemik jika ada varian baru yang lebih kuat?
Saya harap itu tidak berlaku walaupun kemungkinan varian baru menjadi lebih kuat itu ada. Jika rakyat semua negara menggunakan kaedah yang dicadangkan WHO dalam mengawal penularan virus, pandemik dapat dielakkan. Namun, kita tidak boleh lagi berasa terlalu selesa untuk kembali kepada keadaan sebelum Covid-19. Semuanya bergantung kepada kerjasama semua dalam mengamalkan sikap yang betul.
Ada yang mengatakan selepas ini, Covid-19 umpama kes, contohnya demam denggi atau malaria kerana jumlahnya tidak besar tetapi sentiasa ada?
Ya, inilah yang dimaksudkan sebagai endemik. Apabila ada kelompok mudah terjangkit dan menjangkitkannya pula kepada orang lain. Akan ada kepelbagaian varian SARS-CoV-2 yang menyebabkan pelbagai keterukan penyakit. Dengan adanya langkah pemvaksinan, bilangan yang sakit teruk atau meninggal dunia akan berkurangan.
Lebih ramai berada dalam keadaan tanpa simptom dan simptom ringan yang berpotensi untuk menjangkitkan orang lain jika pematuhan SOP diambil ringan. Adalah diharapkan pada ketika itu masyarakat akan lebih prihatin dan memahami bagaimana virus tersebar dan bagaimana dapat sama-sama menghalang penyebarannya.
Sumber : Sini
Baca juga : Adakah Skizofrenia Penyakit Mental
Cik Nor….. hebak cik Nor sekarang, asst KJ nampak hihi
ReplyDeleteMudah2an cepatlah segala demik2 ni berakhr
ReplyDeleteya Allah..ini kah Dunia akhir Zaman..semoga kita sentiasa mengingati Allah..Allah suka hambaNya yang ingat pada kuasa Allah
ReplyDeleteSemoga berakhir endemik ini
ReplyDelete