Breaking News

PROGRAM JELAJAH PESONA SELANGOR 2020 - Program Jelajah Promosi Pelancongan Negeri Selangor Bukti Tourism Selangor Komited dalam Memperkasa Sektor Pelancongan Domestik Pasca Pandemik Covid-19

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia tanpa diduga telah memberikan impak kepada industri pelancongan Negara. Namun, pembukaan semula sektor pelancongan domestik sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seakan memberi sinar baharu kepada industri yang terjejas teruk ini.

Dalam menyemarakkan usaha proaktif ke arah penetapan semula industri pelancongan Negeri Selangor atau visireset tourism”, Tourism Selangor selaku Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor sedang giat menggerakkan sebuah Kempen Promosi Pelancongan Domestik; Pusing Selangor Dulu.

Tourism Selangor mengorak langkah pasca pandemik Covid-19 dengan  penganjuran Program Jelajah Pesona Selangor 2020 Edisi ‘Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu’ ke Negeri Terengganu Darul Iman pada 22 September 2020. Program ini telah disertai oleh delegasi dari Negeri Selangor yang terdiri dari wakil daripada Tourism Selangor, MATTA Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), dan empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor iaitu Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Program Jelajah Pesona Selangor ke Negeri Terengganu menerima kerjasama baik dari pihak MATTA Terengganu dan Tourism Terengganu. Program Jelajah ini turut menerima sokongan dari pihak Pejabat EXCO Pelancongan. Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, MOTAC Terengganu dan Tourism Malaysia Wilayah Timur.

Program Jelajah ini dimulakan dengan sesi pertemuan Business-to-Business atau B2B melibatkan para operator pelancongan yang dibawa khas dari Negeri Selangor, sebelum diteruskan dengan sesi Government-to-Government atau G2G.

Program pada hari tersebut turut menyaksikan penglibatan oleh 9 operator produk pelancongan Negeri Selangor seperti Sunway Lagoon, Sunway Resort Hotel & Spa, Farm in the City, Chocolate Museum, GM Klang, Sky Mirror Tour & Travel, Persatuan Homestay Selangor, Selangor Fruit Valley dan JumpStreet Asia.

Program Jelajah Pesona Selangor ini akan melabuhkan tirai untuk tahun 2020 di Pulau Pinang pada 7- 9 Oktober 2020. Program Jelajah yang sarat dengan initipati pelancongan ini dilihat mampu memberi manfaat dua hala kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri tuan rumah bagi memacu industri pelancongan Negeri dan meningkatkan bilangan pelancong domestik, khususnya pasca pandemik Covid-19.

Tuan Azrul Shah bin Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dalam sebuah kenyataan berkata, “Program Jelajah Pesona Selangor 2020 ini merupakan sebuah landasan terbaik bagi memperkenalkan Negeri Selangor sebagai destinasi percutian unggul yang sarat dengan produk pelancongan menarik sama ada yang baharu mahupun sedia ada”.

“Diharap kerjasama pintar ini dapat memberi manfaat bersama yang akan memakmurkan lagi industri pelancongan ke tahap terulung. Hal ini secara tidak langsung akan membuka peluang yang lebih luas dalam usaha mempergiat Pelan Promosi Pelancongan bagi menggalakkan lebih ramai kemasukan pelancong domestik, khususnya ke Negeri Selangor Darul Ehsan”, tambah Tuan Azrul Shah.

Seiring dengan Kempen Pusing Selangor Dulu yang giat dipromosi di laman media sosial rasmi Tourism Selangor seperti di Facebook, Instagram, Twitter dan LinkedIn; Program Jelajah Pesona Selangor 2020 merupakan sebuah penambahan yang signifikan kepada Pelan Promosi Pelancongan Tourism Selangor kerana potensi besar yang dimilikinya dalam memperkenalkan Negeri Selangor sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan di Malaysia.

Apa yang lebih menarik, penglibatan operator produk pelancongan Negeri Selangor dalam Program Jelajah Pesona Selangor 2020 ini membolehkan sesi promosi dan pengenalan produk dilakukan secara terus kepada penggiat industri pelancongan. Hasil perkongsian dijangka dapat disampaikan kepada golongan sasar yang terdiri dari pelancong tempatan yang bermastautin luar dari Negeri Selangor - penyumbang kepada peningkatan ekonomi Negeri menerusi dapatan industri pelancongan.

Untuk informasi lanjut tentang inisiatif Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor dan juga produk pelancongan terbaharu dan sedia-ada di Negeri Selangor, layari laman sesawang baharu Tourism Selangor, Selangor.travel yang ditambah-baik dengan fungsi terkini untuk sebuah pengalaman digital yang komprehensif

2 comments: