SELANGOR: NEGERI BERSIH DAN SELAMAT UNTUK DIKUNJUNGI
Melancong adalah sebuah
aktiviti yang menyeronokkan bagi kebanyakan penduduk dunia, tetapi bagi
sesetengah orang ianya mungkin sesuatu yang menakutkan terutamanya bagi
pelancong yang memilih untuk melakukannya secara berseorangan. Perkara utama
yang sering difikirkan oleh kebanyakan pelancong sebelum mengunjungi suatu
tempat adalah faktor keselamatan dan kebersihan. Bahkan teori Hierarki Keperluan
Maslow menggariskan faktor keselamatan sebagai keutamaan kedua manusia setelah
keperluan fisiologi. Sekiranya seseorang dapat merasa selamat di suatu tempat,
ianya akan menjadi faktor penarik untuk individu yang sama melawat tempat
tersebut.
Selangor adalah salah
sebuah Negeri yang menerima kunjungan pelancong yang paling ramai di Malaysia.
Hal ini kemungkinan besarnya adalah didorong oleh faktor jaminan keselamatan
pelancong ke Negeri ini oleh Pihak Berwajib Negeri. Intipati berikutnya akan
menerangkan dengan lebih lanjut tentang butiran sokongan terhadap jaminan keselamatan
pelancong di Negeri Selangor.
Perkara pertama yang
terlintas di fikiran pelancong ketika mereka mengunjungi sesuatu tempat adalah kewujudan
Unit Polis Pelancong. Berita baik kepada semua penggemar aktiviti pelancongan,
Negeri Selangor telah menubuhkan Unit
Polis Pelancong yang ditempatkan di
sekitar kawasan pelancongan popular seperti Batu Caves, Sepang Goldcoast, KLIA,
KLIA2, Subang Sky Park, Boustead Cruise Centre, dan Pusat Membeli-belah
terkemuka. Mereka akan melakukan rondaan di sekitar kawasan dan menjaga
keselamatan para pelancong untuk membendung sebarang kes jenayah di kawasan
terbabit.
Dengan adanya Unit Polis Pelancong ini, pelancong
wanita dan pengembara solo terutamanya, tidak perlu berasa risau tentang
keselamatan mereka di Negeri ini. Ibu Pejabat Unit Polis Pelancong pula adalah terletak
di Bandar Sunway, Petaling Jaya, yang mempunyai radius yang berdekatan dengan tempat-tempat
pelancongan utama di Negeri Selangor.
Seterusnya, aktiviti
membeli-belah sering dijadikan sebuah kewajipan ketika melancong, justeru faktor
keselamatan semasa membeli-belah turut dititik-beratkan di Negeri ini. Seperti
dinyatakan di atas, Pusat Membeli-belah juga ditempatkan dengan Unit Polis Pelancong
supaya pelancong dapat berbelanja dengan tenang. Selain itu, terdapat banyak kamera
litar tertutup atau CCTV dan pengawal keselamatan yang ditempatkan di
premis-premis perniagaan bagi menjaga keselamatan pelancong dan masyarakat awam.
Pengawal keselamatan juga telah dilatih dengan pengetahuan tentang semua laluan
di premis terbabit. Selain itu, Sunway Pyramid, sebuah Pusat Membeli-belah
di Sunway City adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dilengkapi
dengan fungsi butang panik. Oleh itu, pelancong boleh berasa yakin
bahawa keselamatan mereka berada di tangan yang baik walaupun ketika membeli-belah
di Negeri Selangor.
Para pengunjung
tarikan semula jadi Negeri ini seperti FRIM Kepong, Sungai Chilling, Taman
Eko Rimba Kanching dan Taman Eko Rimba Chongkak Park and Resort
tidak perlu risau tentang faktor kebersihan dan keselamatan di tempat ini
kerana ianya dijaga dengan baik dan diselenggara oleh syarikat pembersihan yang
dilantik mengikut jadual berkala. Para renjer hutan turut ditempatkan di sana
untuk membantu menjaga keselamatan para pengunjung apabila diperlukan. Selain
itu, terdapat juga tong-tong sampah yang mencukupi untuk menjaga kebersihan
kawasan tersebut. Antara salah sebuah usaha untuk kelangsungan kebersihan sekitar
adalah Kempen “Clean and Green” hasil usahasama pihak Tourism Selangor dan
Firefly Sdn Bhd di Taman Eko Rimba Kanching pada tahun 2018.
Seterusnya, setiap restoran
dan premis makanan di Malaysia diperiksa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia
secara berkala dan dinilai dari segi kebersihannya dari masa ke masa. Oleh itu,
semua restoran dan premis makanan di Selangor juga dinilai secara kerap dan
pelancong mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan dari restoran kelas
A atau B di Negeri ini. Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor telah
melaksanakan garis panduan atau SOP yang lebih ketat untuk penilaian premis
makanan dan minuman. Peraturan inu adalah untuk memastikan bahawa pemilik
restoran mengikuti kriteria yang diperlukan dalam menjalankan perniagaan
mereka. Hal ini membantu orang ramai dan pelancong untuk merasa lebih yakin dalam
mendapatkan makanan yang disediakan dengan bersih dan selamat dimakan.
Tambahan pula, pasca
penularan wabak Covid-19 telah menyaksikan pelaksanaan peraturan atau SOP yang
lebih ketat di premis-premis makanan di seluruh Negeri Selangor. Baru-baru ini,
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah mengetatkan garis panduan bagi
penilaian gred premis makanan dan minuman di kawasan seliaan mereka. Walaupun
disarankan agar orang awam memilih untuk membungkus makanan atau mendapatkan
perkhidmatan penghantaran makanan, namun mereka masih boleh menjamu selera di
premis makanan dengan mempraktikkan jarak sosial yang disarankan serta
kedudukan meja ditetapkan sekurang-kurangnya 1-meter antara satu sama lain.
Kerajaan Negeri
Selangor turut memperkenalkan Aplikasi SELangkah: Langkah Masuk dengan
Selamat, iaitu aplikasi pertama seumpamanya di Malaysia untuk mengawal
pergerakan orang ramai di Negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin
Shari dalam sebuah kenyataan pada 4 Mei berkata, applikasi ini dibangunkan
bagi mengesan pergerakan orang ramai di Negeri Selangor secara maya dalam usaha
untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di Negeri ini. Aplikasi SELangkah yang
dikendalikan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menggunakan konsep asas
kawalan automatik yang pantas dan mudah sebagai inisiatif pendaftaran individu sebelum
memasuki sesuatu premis perniagaan di Negeri ini. Dengan hanya mengimbas kod QR
menggunakan telefon bimbit bagi mendaftar maklumat mereka secara maya,
pengesanan kontak dapat dibuat jika terdapat kes Covid-19 di premis yang telah
mereka kunjungi. Akses Aplikasi ini turut dikongsi bersama Jabatan Kesihatan
Negeri Selangor, Agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan
pengesanan individu untuk proses saringan kesihatan atau kuarantin yang lebih
efisien.
Premis-premis
perniagaan di Negeri Selangor turut digesa untuk menjalankan penyaringan suhu
dan meletakkan cecair pembasmi kuman di premis mereka. Sesetengah premis turut
meletakkan syarat pengunjung perlu memakai topeng pelindung mulut dan muka
serta menghadkan jumlah pengunjung dalam premis mereka pada satu-satu masa bagi
mengelakan berlakunya kesesakan. Sebanyak lebih 700,000 pengusaha premis
perniagaan telah mendaftar untuk kegunaan Applikasi SElangkah setakat 7 Mei.
Seterusnya, terdapat
banyak pilihan tempat penginapan yang boleh dipilih oleh pelancong di Negeri Selangor
seperti hotel, chalet, homestay, pangsapuri dan lain-lain. Sebilangan besar
penginapan ini yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan adalah selamat
untuk pelancong. Kebanyakan hotel turut dilengkapi dengan kawalan kamera litar
tertutup 24 jam atau CCTV dengan fungsi kunci elektronik bagi mengelakkan
sebarang aktiviti pecah-masuk.
Susulan dari
penularan wabak Covid-19, para operator hotel dan penginapan di Negeri Selangor
turut digesa untuk menuruti garis panduan yang ketat, khususnya yang digariskan
oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Malaysian
Association of Hotels (MAH).
Pertama, para
operator hotel diminta untuk memastikan langkah-langkah penjarakan sosial dipraktikkan
oleh penginap dan memastikan semua staf menerima latihan berkenaan garis
panduan yang telah ditetapkan susulan penguat-kuasaan Perintah Kawalan
Pergerakan Pemulihan (PKPP). Langkah-langkah pembersihan menggunakan peralatan
pembersihan dan pembasmian kuman turut perlu dipertingkat terutama di kawasan
yang sering disentuh seperti suis lampu, pemegang pintu, alat kawalan jauh
televisyen, punat lif dan kad elektronik bilik. Untuk menjamin keselamatan
makanan, kakitangan dapur perlu mematuhi garis panduan seperti menjalani pemeriksaan
kesihatan berkala, dan memakai topeng dan sarung tangan semasa penyediaan
makanan. Protokol kebersihan yang lebih ketat dan kawalan kualiti udara turut diperkenalkan
untuk menjamin keselamatan para penginap.
Selain
itu, Kelab-kelab Golf di Selangor kembali beroperasi pasca Covid-19 dengan
menjalankan garis panduan yang ketat untuk memastikan keselamatan para pemain
golf. Ahli Kelab Golf diwajibkan untuk mendaftar masuk manakala bukan ahli
perlu mengisi Borang Deklarasi Kesihatan. Mereka kemudiannya perlu melalui
saringan kesihatan wajib. Selain itu, kereta elektrik atau buggy ditambah kuantiti serta dipasang
dengan plastik pemisah antara pemandu dan penumpang, para pemain golf juga
perlu memastikan jarak 1-meter dipatuhi ketika beratur dan pondok pemula atau starter
hubs tidak dibuka untuk umum. Hal ini bagi memastikan pengusaha Kelab-kelab
Golf di Selangor dapat kembali beroperasi, dengan memberikan penekanan kepada
aspek keselamatan dan kebersihan. Malah, sesetengah Kelab Golf di Selangor
seperti Kota Permai Golf & Country Club turut mengambil langkah yang lebih
menjamin kebersihan dengan pengenalan “contactless
ball extractor” atau mesin pelancar bola secara automatik bagi meminimakan
sentuhan secara terus.
Tuan
Azrul Shah bin Mohamad, Pengurus Besar
Tourism Selangor dalam sebuah kenyataan berkata, “Tourism Selangor menyambut
baik keputusan Kerajaan untuk membuka semula sektor pelancongan domestik
bermula 10 Jun lalu. Umum mengetahui, industri pelancongan merupakan antara
yang paling terjejas beberapa bulan kebelakangan ini. Justeru, susulan dari
pelaksanaaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), operator produk
pelancongan di Negeri Selangor boleh mula beroperasi dengan merangka
strategi-strategi baharu bagi menggamit perhatian pengunjung serta membina
semula sektor ekonomi”.
“Untuk merancakkan lagi
pelancongan domestik, Tourism Selangor telah memperkenalkan Kempen “Pusing
Selangor Dulu!” yang memfokuskan kepada pasaran pelancongan domestik. Tourism
Selangor juga sedang mempergiat perancangan pelaksanaan E-Travel Fair 2020 di
landasan digital sebagai salah sebuah inisiatif untuk mempromosi dan memasarkan
pakej-pakej pelancongan Negeri Selangor secara efektif, di samping menampilkan
tawaran diskaun dari para operator pelancongan Negeri. Seterusnya, Tourism
Selangor akan berkerjasama dengan penggiat Media tempatan dan antarabangsa
untuk Program “Media FAM Trip”, dan juga berkolaborasi bersama penggiat industri
untuk program promosi pelancongan seperti Program Jelajah Pesona Selangor
dan sesi Business-to-Business (B2B) yang akan dirangka secara berkala” tambah Tuan Azrul Shah.
Berdasarkan segala
kenyataan di atas, ianya jelas bahawa Negeri Selangor sememangnya adalah sebuah
Negeri yang selamat dan bersih untuk dikunjungi oleh para pelancong. Kerajaan Negeri
Selangor melalui Tourism Selangor serta penggiat industri pelancongan berusaha
sebaik mungkin untuk memastikan tempat-tempat pelancongan di Negeri ini selamat
untuk dikunjungi para pelancong dengan menitik-beratkan kepada garis panduan
atau SOP, dan protokol kebersihan yang lebih ketat terutamanya di Pusat
Membeli-belah, tempat penginapan, pengangkutan awam, restoran, premis
perniagaan dan Kelab-kelab Golf.
Garis panduan ini
dilihat semakin diperinci dan diperketat susulan penularan wabak Covid-19. Pihak
Tourism Selangor turut giat mempromosikan pelancongan Negeri ini dengan
sentiasa mengemas-kini laman sesawang rasmi, Selangor.travel dan laman media
sosial dengan tarikan Negeri Selangor bagi menarik-minat para pelancong
domestik dan antarabangsa untuk merangka percutian dan perjalanan mereka ke
Negeri Selangor pada masa hadapan. Negeri Selangor khususnya mengalu-alukan
kedatangan pelacong domestik ke Negeri ini, selaras dengan Kempen “Pusing Selangor
Dulu!” yang sedang meniti dalam kalangan penggemar aktiviti pelancongan di
Malaysia.
Untuk
informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi dan terbaharu Tourism Selangor di
Selangor.Travel.
Jom Cik Nor jenjalan Selangor lagi heheheh
ReplyDeleteDatang la semua ke selangor. Kami dah jadi warga selangor sejak duduk selangor ni. Tapi kalau nak pantai, kami balik kampung kami di Terengganu je la.. Hehehe
ReplyDeleteDah beraya ke Kajang Selangor. hahahah yakin sebab cuma pergi rumah kakak tak singgah memana
ReplyDeletebelum bkesempatan ke selangor lg ni ciknor..
ReplyDelete