Breaking News

NEGERI SELANGOR – HUB SUKAN GOLF PREMIER DAN UTAMA DI MALAYSIA




Sejak akhir-akhir ini, populariti pelancongan golf semakin meniti dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa. Golf dikatakan sebagai sukan perseorangan terkenal di dunia. Oleh itu, tidak hairanah jika ada yang melancong semata-mata untuk bermain golf sama ada untuk mendapatkan sebuah pengalaman atau mengambil bahagian dalam Kejohanan Golf yang diadakan di seluruh dunia. Golf adalah sukan yang dimainkan di lebih 208 Negara, termasuk Malaysia. Oleh itu, banyak Negara melihat sukan ini sebagai sebuah prospek untuk mendapatkan keuntungan bagi meningkatkan ekonomi Negara. Mereka berusaha sebaik mungkin untuk membina dan menaik-taraf Kelab-kelab Golf di Negara mereka bagi menarik kedatangan pelancong. Mereka juga turut bersaing untuk menjadi tuan rumah kepada acara dan Kejohanan Golf terkemuka dunia.


Di Malaysia, Negeri Selangor merupakan Negeri yang giat mempromosikan pelancongan sukan golf. Terdapat lebih kurang 29 kelab golf yang berdaftar dengan Tourism Selangor di Negeri ini. Pelancongan golf mudah dipromosikan di Selangor kerana lokasinya yang strategik untuk para pemain golf menikmati pelbagai jenis aktiviti pelancongan selain dari permainan sukan golf. Terdapat pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati sama ada melibatkan keindahan alam semulajadi ataupun lawatan Bandar. Selain itu, Selangor turut dikenali sebagai Pintu Gerbang ke Malaysia kerana mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa, KLIA dan KLIA2 dan pelabuhan terbesar di Malaysia, Pelabuhan Klang. Oleh itu, Negeri Selangor dilihat seringkali menggamit kedatangan pelancong dari segenap sudut.

Usaha mempromosikan pelancongan sukan golf oleh Tourism Selangor bermula pada tahun 2014 lagi. Tahun tersebut menyaksikan Badan Promosi Pelancongan Negeri tersebut mengorak langkah dengan menzahirkan sokongan sebagai Badan Pelancongan Rasmi untuk acara golf yang diadakan di Negeri Selangor. Antara Acara sukan golf terawal yang menyaksikan penglibatan bersama Tourism Selangor ialah Selangor Masters 2014, PGM ADT Maybank Championship 2018, 46th Selangor Amateur Open 2019 dan 1st Tourism Selangor Corporate Golf Tournament 2019.


Sebagai contoh, Acara PGM ADT Maybank Championship 2018 telah diadakan di Saujana Golf & Country Club dan telah menerima penglibatan ramai pemain golf antarabangsa. Ianya turut melakar sebuah kejayaan manis kerana mencapai sasaran yang ditetapkan; antaranya, Selangor menjadi Negeri yang pertama menyiarkan program golf professional di kaca televisyen tempatan. Selain itu, acara tersebut telah berjaya membuktikan kemampuan Negeri Selangor dalam menjadi tuan rumah kepada penganjuran acara sukan golf bertaraf besar dan antarabangsa.

Tourism Selangor meneruskan sokongan terhadap acara lain pada tahun berikutnya iaitu 46th Selangor Golf Amateur Open 2019 bertempat di Danau Golf Club, Bangi. Acara ini mensasarkan penyertaan pemain golf amatur dari dalam dan luar negara, sekaligus mempromosikan Selangor sebagai hub sukan golf di Malaysia. Acara tersebut menerima sambutan hebat dari 500 orang pengunjung dan disertai oleh seramai 160 orang pemain golf amatur domestik dan antarabangsa.

Pada tahun yang sama, Tourism Selangor telah mengorak selangkah ke hadapan dengan menganjurkan Tourism Selangor Corporate Golf Tournament 2019, sebuah Kejohanan Golf anjuran sepenuhnya oleh Badan Promosi Pelancongan tersebut. Kerjasama erat telah dijalankan dengan pemain golf tempatan, Agensi Pelancongan, serta Badan Kerajaan dan Swasta di Negeri Selangor bagi menjayakan acara ini. Adalah menjadi sasaran Tourism Selangor untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan Negeri Selangor. Acara tersebut telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat tajaan dari pelbagai pihak seperti  Kowamas dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA).


Pelancongan golf adalah salah satu sektor pelancongan yang sangat menguntungkan kerana para pelancong dengan tumpuan pada sukan golf membelanjakan tiga kali ganda lebih banyak dari pelancong biasa, merujuk kepada data dari pengendali pelancongan golf, Asian Golf pada tahun 2011. Hal ini adalah kerana, kebanyakan pemain golf adalah berasal dari pelancong yang berpendapatan sederhana dan tinggi. Jumlah pendapatan yang disasarkan pada tahun 2021 dari sektor pelancongan golf di Malaysia adalah sebanyak 44.6 billion USD. Oleh itu, pelbagai pihak termasuk Tourism Selangor serta pemain industri sering menjalinkan kerjasama dalam menganjurkan serta mengendalikan acara sukan golf terkemuka.
Tahun 2020 menyaksikan tahun yang paling padat dirangka untuk acara sukan golf khususnya di Negeri Selangor. Namun begitu, pandemik Covid-19 yang telah melanda dunia telah menyebabkan banyak acara golf yang telah dirancangkan di Selangor pada tahun 2020 perlu ditunda ke tahun hadapan atau dibatalkan serta-merta. Antara acara yang telah dirancang bagi mempromosikan Selangor sebagai hub permainan golf di Malaysia untuk tahun 2020 ialah Selangor Golf Classic 2020 dan 2nd Tourism Selangor Corporate Tournament 2020. Selain itu, Konvensyen dan acara golf berskala besar, Asian Golf Tourism Convention (AGTC 2020) yang sepatutnya diadakan pada Mac lalu turut dibatalkan oleh pihak penganjur bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Negeri ini.


Kelab-kelab golf di Selangor kembali beroperasi pasca Covid-19 dengan menjalankan Standard Operations Procedures (SOP) yang ketat untuk memastikan keselamatan para pemain golf. Ahli Kelab Golf diwajibkan untuk mendaftar masuk manakala bukan ahli perlu mengisi Borang Deklarasi Kesihatan. Mereka kemudiannya perlu melalui saringan kesihatan wajib. Selain itu, kereta elektrik atau buggy ditambah kuantiti serta dipasang dengan plastik pemisah antara pemandu dan penumpang, para pemain golf juga perlu memastikan jarak 1-meter dipatuhi ketika beratur dan pondok pemula atau starter hubs tidak dibuka untuk umum. Hal ini bagi memastikan pengusaha Kelab-kelab Golf di Selangor dapat kembali beroperasi, dengan memberikan penekanan kepada aspek keselamatan dan kebersihan. Malah, sesetengah Kelab Golf di Selangor seperti Kota Permai Golf & Country Club turut mengambil langkah yang lebih menjamin kebersihan dengan pengenalan “contactless ball extractor” atau mesin pelancar bola secara automatik bagi meminimakan sentuhan secara terus.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Encik Azrul Shah bin Mohamad dalam sebuah kenyataan berkata, “Penggiat industri pelancongan seperti operator hotel dan tempat pelancongan, Agensi Pelancongan serta penyedia perkhidmatan adalah diseru untuk melihat potensi sukan golf dari sudut yang berbeza. Bagi mendokong aspirasi tersebut, Tourism Selangor akan mempergiat usaha dan inisiatif dalam menyokong penganjuran acara sukan golf di Negeri ini dari masa ke masa dalam usaha mempromosikan Negeri Selangor sebagai sebuah hub premier dan utama bagi sukan golf di Malaysia”.

Kesimpulannya, pelancongan sukan golf bukanlah suatu cabang pelancongan yang harus dipandang ringan kerana potensi besar yang dimilikinya. Semua penggiat industri pelancongan termasuk Agensi Pelancongan perlu bekerjasama dalam mempromosikan potensi sukan ini di Negeri Selangor. Pakej-pakej percutian yang menyelitkan aktiviiti sukan golf di Kelab dan Lapangan golf pemenang anugerah di Negeri ini pasti dapat menarik perhatian peminat sukan ini dari dalam mahupun luar negara seterusnya menyumbang kepada kemampanan pencapaian ekonomi Negeri.

Untuk informasi lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor yang serba baharu di Selangor.Travel

2 comments:

  1. Sukan golf ni biasanya di monopoli oleh golongan yg ada-ada je...hehehe..
    Asben nieyl pun minat juga tapi klu g kedai sukan dia suka belek je kayu golf ni..
    Selamat pagi :)

    ReplyDelete
  2. sama tak main golf ni..mcm main hoki ciknor? heheee

    ReplyDelete