Breaking News

TOURISM SELANGOR SERTAI VIRTUAL TOURISM EXPO (VTE) 2021 DENGAN RUANG PAMERAN 3D YANG PERTAMA SEUMPAMANYA DI MALAYSIA

Sebuah Sesi Sidang Media secara Maya Telah Diadakan pada Rabu mengenai Penyertaan Tourism Selangor dalam VTE 2021

Tourism Selangor meneruskan inisiatif bagi membangunkan semula industri pelancongan domestik, khususnya di Negeri Selangor dengan penyertaan di Virtual Tourism Expo (VTE 2021) yang akan berlangsung pada 27 sehingga 29 Ogos ini secara atas talian, selaras dengan norma baharu.

Bagi mewar-warkan penyertaan Tourism Selangor dalam VTE 2021, satu sesi Sidang Media secara maya telah disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Tourism Selangor pada Rabu menampilkan Tuan Azrul Shah Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dan Tuan Rohizam Md Yusoff, Presiden Digital Travel Technology Association of Malaysia (DiTTAM).

Melihat kepada inisiatif pendigitalan pelancongan yang dirangka oleh pihak Tourism Selangor, Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor ini terlebih dahulu menyertai program atas talian, ‘Marketplace’anjuran MITA (Malaysia Inbound Travel Association) pada Jun lalu, sebelum meneruskan penyertaan ke VTE 2021 anjuran DiTTAM. Apa yang lebih menarik, VTE 2021 menampilkan pameran digital 3-dimensi atau 3-D yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Tuan Azrul Shah Mohamad dalam sebuah kenyataan berkata. “Seiring dengan keunikan fungsi pameran 3-D yang julung kali ditampilkan seumpamanya di Malaysia, tentunya pihak Tourism Selangor akan menawarkan sebuah pengalaman digital yang serba menarik, dengan perkongsian maklumat yang komprehensif.Saya menyeru orang awam, khususnya penggemar aktiviti pelancongan agar tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan tawaran pakej-pakej pelancongan Negeri Selangor sepanjang tiga hari VTE 2021 berlangsung”.

Orang awam, khususnya penggemar aktiviti pelancongan disaran agar tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan tawaran pakej-pakej pelancongan Negeri Selangor, terutamanya dari pihak Eastin Hotel dan Skytrex Sg Chongkak yang juga turut serta dalam VTE 2021.

Selain pameran digital 3D yang akan bersiaran dari pukul 10 pagi hingga 10 malam pada ketiga-tiga tarikh tersebut, pameran secara luar talian atau ‘offline’ pula akan berlangsung sepanjang 24 jam sehari tanpa perlu melibatkan kehadiran secara fizikal seperti kebiasaannya.

VTE 2021 yang merupakan sebuah landasan pemasaran maya turut mengambil konsep Business-to-Consumer (B2C) yang memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli pakej dan jualan promosi secara terus dari pihak penjual. Konsep ini diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai untuk membuat pilihan serta melakukan sebarang transaksi secara atas talian yang tentunya lebih mudah dan efisien.

Tourism Selangor akan mempromosikan Kempen Pelancongan Domestik; “Pusing Selangor Dulu” di VTE 2021 bagi meningkatkan bilangan kedatangan pelancong ke Negeri Selangor menerusi pembudayaan norma baharu setelah pergerakan domestik kembali dibenarkan.

Usaha ini bukan sahaja memberikan sinar kepada industri pelancongan yang amat terkesan ekoran pandemik ini, malah turut mampu membantu produk dan operator pelancongan Negeri menjana pendapatan menerusi penjualan pakej-pakej pelancongan domestikyang ditawarkan di VTE 2021.

Penyertaan pihak Tourism Selangor antara lain turut memberi peluang kepada orang ramai, khususnya penggemar aktiviti pelancongan untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini tentang produk-produk pelancongan Negeri Selangor, termasuk produk-produk pelancongan baharu. Secara tidak langsung, penyertaan di VTE 2021 mampu memberikan pendedahan dan pembelajaran ke arah pelaksanaan program pendigitalan pelancongan yang menjadi salah satu fokus utama pihak Tourism Selangor, pasca pandemik Covid-19.

Justeru, jangan lepaskan peluang untuk menyertai dan meilhat sendiri keunikan pameran 3D Tourism Selangor di VTE 2021 yang akan berlangsung secara maya pada 27 hingga 29 Ogos ini di pautan https://vte2021.malaysiaexpo.net/.

Pastikan juga anda terus berinspirasi dengan keunikan pelancongan Negeri Selangor menerusi kemas-kini di laman media sosial rasmi Tourism Selangor; Facebook, Instagram, Twitter, saluran YouTube dan aplikasi TikTok. #ImagineNowExperienceSoon!

Baca juga : 10 Bakeri Sekitar Negeri Selangor

1 comment:

  1. bagus skrg kan boleh pegi pameran di mana sahaja kita berada...

    ReplyDelete