7 DESTINASI PELANCONGAN DI NEGERI SELANGOR YANG JAUH DARI KHALAYAK RAMAI
Sekali sekala, anda perlu meluangkan masa merehatkan minda dengan bercuti ke tempat-tempat yang mempunyai persekitaran yang tenang dan jauh dari kawasan bandar yang sesak. Bagi sesiapa yang menginginkan sebuah percutian dengan persekitaran yang menenangkan serta jauh dari kawasan orang ramai, pihak Tourism Selangor menyenaraikan 7 destinasi pelancongan yang boleh dilawati di Negeri Selangor untuk pilihan anda.
1) LADANG TEH LEMON MYRTLE, SABAK BERNAM
Ramai yang tidak tahu terdapat ladang teh lemon Myrtle yang cantik di Sekinchan.
Ladang teh myrtle selalunya terdapat di negara Australia, tetapi kini juga ia
ada di Malaysia. Jika membuat lawatan ke sini, anda dapat menikmati pemandangan
ladang yang kehijauan malah sesuai untuk bergambar kenangan. Ladang teh myrtle
ini terletak bersebelahan dengan kawasan sawah padi yang menghijau, maka anda
juga boleh bergambar berlatar-belakangkan pemandangan yang cantik. Selain itu,
terdapat beberapa buah buaian yang merupakan tempat santai untuk pengunjung
berehat di situ. Anda juga dapat membeli produk keluaran ladang teh Mrytle ini
di gerai jualan yang disediakan seperti sabun tangan, sabun mandi, teh Myrtle,
air teh lemon segar dan banyak lagi. Bayaran sebanyak RM3 akan dikenakan untuk pengunjung
dewasa dan RM1 bagi 7 tahun ke bawah. Ladang teh ini hanya dibuka pada hari
Sabtu, Ahad dan cuti umum dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Alamat: Lot 16281, Jalan Tali Air 6 Sekinchan,Selangor Darul Ehsan
2) KAWASAN SAWAH PADI
SEKINCHAN, SABAK BERNAM
Daerah Sabak Bernam terkenal dengan kawasan sawah padi
yang luas dan cantik. Oleh itu, jika anda ingin pergi ke tempat dengan suasana
yang tenang dan nyaman, Pekan Sekichan Sabak Bernam merupakan tempat yang tepat
untuk anda luangkan masa bersama orang tersayang. Terdapat banyak aktiviti
menarik yang boleh dilakukan di sini seperti bersiar-siar dan bergambar di
sekitar kawasan sawah padi, melawat ke kedai Ah Ma House yang menjual makanan tradisi masyarakat Cina seperti
keropok, makanan ringan, kuih tradisional seperti tart nenas dan kuih bangkit (tapioca cookies), dan sebagainya. Selain
itu, anda juga boleh melawat ke Galeri Padi untuk mempelajari cara penanaman
dan penuaian padi serta proses penghasilan beras.
Alamat: Kawasan Sawah Padi, Pekan Sekinchan Sabak Bernam, Selangor
3) TAMAN BOTANI NEGARA, SHAH ALAM
Taman
Botani Negara merupakan taman pelancongan agro yang dibangunkan untuk tujuan
riadah serta penyelidikan. Taman Botani Negara menampilkan pemandangan alam
semula jadi yang hijau, nyaman dan menyegarkan. Taman ini mempunyai tarikan
yang menarik khas buat pengunjung, iaitu Rumah Iklim Empat Musim yang terkenal
di mana pengunjung akan merasai cuaca musim salji, musim bunga, musim panas dan
musim luruh namun rumah empat musim hanya akan dibuka semula kepada umum pada
suku pertama tahun 2021. Selain itu, terdapat juga taman kaktus, orkid, rempah-ratus,
buah-buahan, taman haiwan dan banyak lagi. Bayaran yang dikenakan untuk masuk
adalah RM3 (12-54 tahun) RM1 (kanak-kanak 6-11 tahun), RM1 (55 tahun keatas)
dan percuma untuk golongan OKU. Waktu operasi dibuka Selasa hingga Ahad (7.30
pagi hingga 4.30 petang).
Alamat: Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, 40000 Shah Alam, Selangor
4) EMPANGAN SUNGAI
SELANGOR, HULU SELANGOR
Jika berkelapangan, anda boleh singgah ke empangan Sungai
Selangor kerana tempat ini merupakan salah satu destinasi tarikan lebih-lebih
lagi bagi penggemar alam semula jadi dan jurugambar di mana anda dapat
menikmati suasana yang segar dan berpeluang mengambil gambar pemandangan
bukit-bukau yang cantik. Bukan itu sahaja, terdapat juga aktiviti memancing dan
berbasikal sepanjang laluan ke sini. Jika anda singgah pada waktu malam, anda
boleh menikmati aktiviti stargazing
sambil bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan.
Alamat; Lookout Point Sungai Selangor Dam, 55, 44000 Kuala Kubu Baru, Selangor
5) PAYA INDAH
DISCOVERY WETLANDS, KUALA LANGAT
Paya Indah Discovery Wetlands ini merupakan tempat yang
sangat sesuai bagi mereka yang inginkan ketenangan sambal menikmati
persekitaran alam semula jadi. Landskap sekitar kawasan ini sangat cantik
kerana dipenuhi dengan pokok-pokok, ruang padang yang luas serta gabungan
tumbuhan semula jadi bunga teratai. Tempat ini juga telah menjadi kawasan
habitat lebih daripada 300 jenis spesis binatang dan bagi penggemar burung,
anda juga dapat meninjau aktiviti burung (bird watching). Bukan itu sahaja, anda juga dapat melakukan
aktiviti seperti memberi makanan kepada badak air, buaya dan ikan, dapat
memancing, berbasikal, berkayak, merentasi hutan dan banyak lagi.
Aktiviti-aktiviti tersebut dibuka berbeza mengikut hari-hari tertentu dan perlu
membuat tempahan awal. Antara tarikan lain yang terdapat di sini adalah pakej “Safari Insta-Tour” yang membawa
pengunjung ke tiga lokasi dengan pemandangan menarik; Ladang Buluh, Rumah
Melayu dan Tasik Sendayan dengan menaiki sebuah trak. Bayaran untuk pakej ini
adalah RM 35 pada hari biasa dan RM 45 pada hari minggu, manakala pemegang
MyCard akan beroleh diskaun sebanyak 20%. Paya Indah Discovery Wetlands dibuka
setiap hari dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Alamat: KM 4, Jalan Dengkil, Banting, 43800 Dengkil, Selangor
6) SELANGOR FRUIT
VALLEY, KUALA SELANGOR
Selangor Fruit Valley
merupakan taman buah-buahan yang menarik untuk dikunjungi di mana anda akan dibawa
ke ladang buah-buahan tempatan seperti tanaman buah rambutan, betik, belimbing,
jambu dan banyak lagi serta dapat menikmati buah-buahan tersebut secara percuma.
Bukan itu sahaja, terdapat juga tarikan dan aktiviti yang disediakan seperti petting zoo mini, ladang rusa, pusat kajian agrokultur, rumah tradisional,
ternakan madu kelulut, aktiviti berkayak, dan banyak lagi. Selain itu, terdapat
juga kemudahan trem untuk membawa anda ke sekitar kawasan taman ini sambil
menghirup udara segar. Anda juga boleh singgah ke gerai jualan yang terdapat di
sana untuk beristirahat dan menghilangkan dahaga dengan menikmati air kelapa
yang segar. Waktu operasi adalah
setiap hari kecuali Jumaat (9.00 pagi hingga 4.00 petang) dan bayaran dikenakan
RM 15 (dewasa), RM 10 (60 tahun keatas), RM 10 (OKU dan kanak-kanak 4 -12
tahun), percuma (4 tahun ke bawah).
Alamat: Selangor Fruits Valley SFV, Rawang, Berjuntai Bestari, Selangor, Malaysia
7) PULAU KETAM, KLANG
Pulau Ketam yang terletak di Klang merupakan destinasi yang menarik untuk dikunjungi yang mana pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga atau rakan-rakan di sini sambil menikmati suasana pantai yang nyaman dan mendamaikan. Untuk sampai ke Pulau Ketam, anda perlu menaiki feri (RM14 dua hala) seorang atau bot laju (RM20 dua hala) seorang. Kawasan ini merupakan perkampungan nelayan yang didiami oleh masyakarat Cina. Di sini juga terkenal dengan restoran yang menghidangkan menu makanan laut yang menyelerakan. Selain itu, aktiviti dan tarikan yang boleh dilakukan di sini adalah seperti menyewa basikal dan mengayuh sekitar kampung, bergambar di kawasan mural dan kuil Cina, melihat dan merasai kehidupan suasana perkampungan nelayan, dan banyak lagi.
Alamat: Jalan Foreshore, Kawasan 20, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor
PENUTUP
Akhir kata, terdapat banyak destinasi menarik yang anda boleh kunjungi di Negeri Selangor yang jauh dari kawasan pelancongan yang sesak dengan orang ramai. Anda pasti dapat menenangkan fikiran dan minda di tempat-tempat yang telah disenaraikan oleh pihak Tourism Selangor ini. Selain itu, anda juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi operasi prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan dan menjaga penjarakan sosial sepanjang kunjungan anda bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 daripada terus menular.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Baca juga ;NEGERI SELANGOR SALUR INSENTIF KHAS BERSASAR SECARA ONE-OFF KEPADA PENGGIAT INDUSTRI PELANCONGAN
Eh.. selangor ada ladang teh eh.. menariknya.. Kan best kalau abis PKPB nanti boleh gi sini..
ReplyDeleteBanyak juga tempat best dekat Selangor yer
ReplyDeletehehe dok sni pun tapi banyak tempat2 dekat tak pernah sampai lagi..
ReplyDeletePKP cepatlaa abes..