Breaking News

GOMBAK - HULU LANGAT GEOPARK SEDANG MELALUI PROSES PENILAIAN GEOPARK KEBANGSAAN

Pihak Badan Pengurusan Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp) telah membuat persediaan dan kini sedang menghadapi proses Penilaian GHLGp yang bermula pada 15 hingga 18 Ogos 2022, dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Geopark Kebangsaan. Program ini dijalankan selama 4 hari dan melibatkan 13 stesen di Daerah Gombak dan Hulu Langat.Inisiatif ini telah dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor semenjakTahun 2019 dan merupakan langkah permulaan yang signifikan sebelum ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) yang disasarkan pada tahun 2025.

YB Tuan Hee Loy Sian, Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor dalam ucapan perasmian Sesi Penilaian Gombak-Hulu Langat Geopark di Grand Barakah Hotel Ampang,berkata,”Projek Gombak-Hulu Langat Geopark berperanan besar dalam penjagaan dan pemuliharaan aset alam semulajadi seperti pergunungan dan hutan dan hidupan flora dan fauna. Khazanah alam dan warisan ini perlu dipelihara dan telah memberi manfaat kepada rakyat Negeri Selangor saban tahun. Tapak warisan geologi yang dikenali sebagai geo tapak berkepentingan kebangsaan, serantau atau antarabangsa dibangunkan secara lestari bagi meningkatkan apresiasi, tahap ekonomi dan nilai budaya penduduk khususnya di Negeri Selangor, terutamanya melalui penglibatan komuniti dalam aktiviti berteraskan pelancongan.”

Beliau juga turut berkata, Gombak-Hulu Langat Geopark ini telah memperkukuhkan komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memelihara alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat dan seterusnya menyokong usaha ke arah pencapaian Sustainable Development Goals (SDG) dan ianya selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menjadikan Selangor sebuah negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang tahun 2025.

En Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor merangkap Pengerusi Badan Pelaksana GHLGp berkata,” Pelaksanaan Projek GHLGp ini adalah bertujuan untuk mendapatkan pengiktirafan GHLGps ebagai Geopark Kebangsaan. Projek ini juga berperanan untuk dijadikan model pendidikan dan program kesedaran awam untuk pemuliharaan warisan geologi, biologi dan kebudayaan.  Dengan pendedahan mengenai sektor geo-pelancongan ini, ianya juga dapat menggalakkan pembangunan mampan (sustainable) dalam kalangan Geo- komuniti”.

GHLGp adalah merupakanr angkuman 20 geotapak yang dikenal pasti berpotensi serta mempunyai kepentingan geologi adalah aset negara yang sangat bernilai khususnya kepada Negeri Selangor. Ia melibatkan kawasan seluas 112,955 hektar ini terletak di 2 daerah iaitu daerah Gombak (13 geotapak) dan Hulu Langat (7 geotapak).


Beberapa nilai keunikan geologi di Geotapak jajaran Gombak-Hulu Langat yang berkepentingan global dan mempunyai nilai signifikan yang tinggi untuk dipelihara. Antaranya seperti berikut:-

a)  Geologi kawasan GHL Geopark didominasi oleh batuan granit banjaran utama dengan usia antara 200 – 220 juta tahun.

b)   Batuan pliestosen akhir (di Batu Caves) yang paling selatan di benua asia, berusia 350 – 500 juta tahun.

c)   Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS): merupakan Timbulan kuarza terpanjang di Asia Tenggara.

d)    Lombong arang batu tertua di Malaysia terletak di Batu Arang.

e)   Spesies endemik yang boleh dijumpai di beberapa biotapak: seperti cicak jari bengkok di Batu Caves, Serow di Permatang Kuarza Gombak Selangor, dan lain lain.

f)   Dua empangan utama iaitu Empangan Klang Gates and Empangan Semenyih dengan struktur kejuruteraan geologi yang berbeza, dan merupakan kawasan tadahan air utama bagi Negeri Selangor.


Sasaran utama pelaksanaan projek ini adalah seperti yang berikut:-

a) Mendapat kelulusan penilaian dengan keputusan minima Kad Kuning serta mendapat pengiktirafan Geopark Kebangsaan selepas sesi penilaian.

b)    Mendapatkan pengiktirafan peringkat Unesco Global Geopark pada tahun 2025.

c)    Penyediaan Cultural Mapping Gombak-Hulu Langat Geopark pada tahun 2022.

d)    Penyediaan Pelan Induk Pengurusan GHLGp pada tahun 2022

e)   Penyertaan “The 10th International Conference on Global Geoparks of UNESCO 2023” bagi membentangkan kertas kerja GHL Geopark.


Kesan limpahan daripada pelaksanaan Gombak-Hulu Langat Geopark yang selari dengan RS-1, Pelan Induk Pelancongan Negeri Selangor 2021-2026 ini dijangka akan menggandakan jumlah kedatangan pelancong, meningkatkan pendapatan serta resit pelancongan, merancakkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan baru dalam sektor pelancongan khususnya.

1 comment:

  1. Masa ikut program jalan-jalan Selangor dulu, memang terkejut bila tau banyak rupanya lokasi flora yang cantik dan hidden gem ada di Selangor. Memang patut kalau dapat tersenarai dalam UNESCO.

    ReplyDelete