Breaking News

TUKAR ANGIN! LAKUKAN SENAMAN HARIAN ANDA DI 8 TEMPAT REKREASI DI NEGERI SELANGOR!

Amalkan Gaya Hidup Sihat dengan Bersenam di Tempat-tempat Rekreasi Sekitar Negeri Selangor!

Anda sudah bosan melakukan aktiviti senaman di kawasan perumahan anda? Apa kata sekali-sekala anda "tukar angin" pula? Jangan risau, Negeri Selangor mempunyai banyak tempat rekreasi untuk anda bersenam seperti melakukan senaman ringan, berjoging mahupun berbasikal. Selain melakukan aktiviti senaman, anda boleh membawa seisi keluarga anda untuk beriadah sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan alam semula jadi. Di sini, pihak Tourism Selangor menyenaraikan 8 tempat rekreasi untuk anda kunjungi di Negeri ini serta meneruskan gaya hidup sihat!

1)    Taman Tasik Shah Alam

Taman Tasik Shah Alam terletak berdekatan dengan tarikan popular di Shah Alam iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz atau dikenali dengan Masjid Biru. Taman Tasik Shah Alam menawarkan hiasan landskap yang sangat indah dan menghijau, yang berkeluasan lebih dari 43 hektar serta telah direka oleh arkitek landskap terkenal, Fumiaki Takano. Taman awam pertama yang dibuka di Negeri Selangor pada tahun 1985 ini sudah menjadi habitat kepada hidupan air tawar. Keluasan dan keindahan seperti ini akan memberi ketengan kepada anda untuk melakukan aktiviti senaman atau berjoging apatah lagi di pagi hari.


2)    Maya Park Eco Ardence, Setia Alam

Ramai yang menyukai tempat ini, Maya Park Eco Ardence yang terletak di Bandar Setia Alam ini. Denganruang terbuka dan sangat luas, tempat rekreasi ini sering menjadi pilihan pengunjung bagi menyaksikan pemandangan matahari terbenam, diiringi suasana tasik yang tenang. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan di sini, antaranya adalah berjoging dan berbasikal di trek yang mengelilingi tasik tersebut.  Sekiranya anda tidak mempunyai basikal, jangan risau kerana anda boleh menyewa  basikal di sini!

3)    River Track Cycle Park, Klang

River Track Cycle Park terletak di Klang, merupakan kawasan yang dikelilingi kehijauan yang memberikan ketenangan minda, badan dan jiwa. Nikmati panorama hutan bakau semula jadi yang berfungsi untuk meningkatkan persekitaran yang sihat dan lestari. Laluan sepanjang 1.8 kilometer di tebing Sungai Chandong Besar adalah tempat yang sesuai untuk berjoging. Nikmati juga  aktiviti berbasikal di trek sepanjang 3 kilometer yang dikelilingi dengan pemandangan yang menarik. Persekitaan yang tenang ini akan menjadikan pengalaman berbasikal dan berjoging anda tentunya lebih menyeronokkan!

4)    Elmina Central Park, Shah Alam

Elmina Central Park terletak di Bandar Elmina di Shah Alam, kira-kira setengah jam pemanduan dari Kuala Lumpur. Trek joging dan berbasikal yang dibuka kepada umum terletak di pintu masuk Bandar ini untuk pengunjung yang datang dari Guthrie Corridor Expressway. Selain aktiviti senaman, anda juga boleh membawa anak anda untuk bermain di taman permainan dan berjalan di kawasan pejalan kaki sambil menikmati pemandangan yang cukup indah!

5)    Perdana Lake, Jogging Track, Sunrise Point, Cyberjaya

Habiskan waktu pagi anda dengan bersenam di taman ini kerana ianya menenangkan di samping memberi keselesaan kepada anda untuk melakukan aktiviti senaman mahupun riadah bersama keluarga. Di sini anda boleh berjoging sambil melihat keindahan tasik yang sangat luas, seluas pemandangan sambil menghirup udara segar. Trek joging dan berbasikal yang sangat luas ini akan memberi keselesaan kepada anda seisi keluarga. Bukan itu sahaja, anda juga boleh berkelah di tepi trek tersebut!

6)    Ara Damansara Park, Petaling Jaya

Terletak di pinggir Bandar Ara Damansara, taman rekreasi ini memiliki pelbagai kemudahan termasuk gelanggang badminton, bola keranjang dan taman permainan. Ara Damansara Park yang menawarkan trek joging sepanjang 1.9 kilometer akan memberikan kepuasan untuk anda bersenam mahupun berbasikal. Selain itu, ramai pengunjung yang membawa anak kecil mereka untuk bermain di taman permainan yang telah disediakan di sini.

 

7)    Dragonfly Park, Eco Grandeur, Puncak Alam

Dragonfly Park ini terletak di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam. Ianya merupakan sebuah lokasi yang sangat cantik untuk melalukan aktiviti riadah di waktu petang. Taman awam ini bakal memukau anda dengan pemandangan kawasan padang yang luas dipenuhi dengan kehijuan dan kawasan rumah urban yang sangat cantik. Laluan trek joging nya mungkin tidak sepanjang trek-trek taman awam yang lain, namun ia tetap memberi kepuasan, di samping anda dapat menikmati keindahan sekeliling. Taman yang tidak terlalu ramai pengunjung ini sesuai sekiranya anda ingin membawa anak kecil untuk berbasikal di persekitaran Dragonfly Park ini.

8)    Taman Jaya, Petaling Jaya

Terletak di lokasi yang sangat strategik, anda boleh pergi ke sini dengan menaiki pengangkutan awam iaitu LRT dan turun di Stesen Taman Jaya. Taman rekreasi ini merupakan sebuah lokasi yang popular dalam kalangan penduduk Petaling Jaya untuk melakukan aktiviti berjoging dan beriadah. Taman yang tenang suasananya dan dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok dan sebuah tasik yang cantik ini juga menjadi tempat anak-anak muda meluangkan masa mereka bermain skateboard.

Tidak kira di waktu pagi mahupun petang, lazimnya ramai yang meluangkan masa dengan melakukan aktiviti yang menyihatkan seperti bersenam, berjoging dan berbasikal di taman-taman awam dna tempat rekreasi, Amalan gaya hidup sihat akan memberi impak positif terhadap diri seseorang. Sekiranya anda ingin menukar angin dan bersenam dalam persekitaran baharu yangsantai dan tenang, kunjungi tempat-tempat rekreasi di sekitar Negeri Selangor, dan jangan lupa untuk selitkan tempat yang telah disenaraikan di atas dalam perancangan anda. Nikmati masa menyihatkan dengan Pusing Selangor Dulu!

Walau bagaimanapun, adalah diingatkan kepada semua pengunjung untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.

Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #PusingSelangorDulu.

 

Untuk informasi lanjut,layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Baca juga : Tebus Baucer Perlancongan Negeri Selangor

2 comments: