Breaking News

Nilai Sebuah Pekerjaan (an interesting article).............


Assalamualaikum w.b.t.
 "Kenapa anda mahu jadi doktor?", saya melemparkan soalan ini, selepas mempertontonkan kepada pelajar di IMU tadi video dari koleksi Stephen R. Covey.
Pelajar yang hadir tersenyum-senyum.
"Sebab minat biologi?", saya bertanya.
Ramai yang ketawa. Itu mungkin alasan semasa di Tingkatan 4 dahulu.
"Sebab suka tolong orang?", saya terus bertanya.
Ramai yang mengangguk.
"Well, come on. Ramai yang hantar anak buat perubatan supaya boleh rawat ibu bapa sendiri nanti. Tetapi realitinya, kamu bukan manusia pertama boleh muncul memberikan rawatan jika berlaku apa-apa kepada ibu bapa. Malah ketika di bilik pembedahan dan wad kecemasan, ahli keluarga bukanlah calon terbaik untuk merawat ahli keluarga sendiri. Namanya, profesionalisma", saya menyambung provokasi.
"Kamu nak tolong suami, isteri dan anak-anak? Rasa saya, suami doktor, isteri doktor dan anak-anak doktorlah yang paling banyak kena berdikari", saya terus mencucuk jarum.
"Saya selalu beritahu isteri, bahawa apabila awak berjaya jadi specialist nanti, jangan lupa bahawa orang yang paling banyak berkorban ialah tiga orang ini. Anak-anak kita. Merekalah yang berkorban, melepaskan masa yang sepatutnya kita beri kepada mereka, agar kita berjaya", saya berkongsi cerita.
Saya sengaja mengacah pelajar-pelajar di IMU supaya berfikir bersungguh-sungguh, mengapa mereka memilih bidang perubatan.
Jika anda seorang perempuan yang bakal menjadi doktor, anda perlu tahu bahawa walaupun negara amat terdesak kepada adanya ramai tenaga pakar, anda tidak akan diberikan 'kemudahan' untuk menjadi pakar. Anda tidak ada cuti bersalin, seandainya anda 'termengandung' semasa sedang membuat program pakar. Anda tidak menerima sebarang elaun untuk membeli buku. Semua kena guna duit sendiri. Kursus dan seminar yang anda hadir, anda mesti membayarnya sendiri. Mungkin anda terpaksa menawarkan diri menjadi AJK agar dapat dikecualikan dari yuran, walaupun anda tahu akibat menjadi AJK itu. Semua orang mahu anda bekerja seperti orang lain, ketika anda terdesak menghadapi peperiksaan. Tiada belas, tiada insentif.
Misalnya isteri saya, kerana 2 minggu cuti yang diperuntukkan untuk kecemasan dan lain-lain, sudah pun digunakan bersalin, lupakanlah kenduri kendara di kampung, lupakanlah ibu bapa, 6 bulan tiada cuti.
Bukan calang-calang kerja.
  Anda mahu menjadi pelajar perubatan kerana mahu menolong orang? Tolonglah diri sendiri kerana anda yang amat memerlukan pelbagai pertolongan itu nanti.
"Maka, apa tujuan anda mahu menjadi doktor?", soalan yang sama saya ulang sekali lagi.
Pelajar-pelajar itu termenung. Sesi soal jawab tiada soalan, kerana semua soalan adalah untuk ditanya kepada diri sendiri, dan diri sendirilah yang perlu menjawabnya.

PERSOALAN NILAI
Kuliah kali ini adalah tentang nilai. APA NILAI YANG DIBAWA DALAM SEBUAH PEKERJAAN?Dalam sebuah kehidupan.
Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja rumahnya, kerjanya 'melayan suami', tidak mungkin mampu dibalas walaupun dengan bayaran RM2000 sebulan, maka nilai apakah yang ada pada dirinya? Saya tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu menghargai isterinya, tetapi dalam kes ini, si perempuan itu sudah menjatuhkan dirinya.
Hanya 'bibik' sahaja yang buat kerja rumah untuk duit. Maafkan saya, hanya pelacur sahaja yang meletakkan harga pada layanannya terhadap seorang lelaki.
Seorang ibu membuat kerja rumah kerana Nilai Kasih Sayang. Seorang isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas NILAI KASIH SAYANG. Maka tanpa kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber kebencian.
Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan sesuatu adalah sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku kita terhadap pekerjaan yang kita lakukan.

NILAI DUIT
Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan dengan banyak masalah, walaupun wang berjaya diperolehi.
Sekarang ni sudah menjadi satu trend kepada dua industri, kalau boleh saya katakan industri. Yang pertamanya adalah industri perubatan, dan yang keduanya, industri berkaitan petroleum. Trend yang saya maksudkan di sini, adalah perpisahan di antara seorang suami atau isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan desakan nilai wang itu tadi.
Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumahtangga, berpisah sementara (bukan calang-calang sementara) demi melepaskan isteri yang bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk. Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum, bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan... tetapi output daripadanya merunsingkan saya.
Itu, belum lagi dikorek kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur .
Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya ditakdirkan Allah bertemu dengan outputnya. Saya bertemu dengan anak-anak remaja, yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun. Saya bertemu dengan kes, suami main kayu tiga ketika isteri meninggalkannya gersang setahun di tanah air. Saya juga bertemu dengan kes isteri yang mem'poligami' kan suaminya dengan bersuamikan orang lain semasa di perantauan. Dan kes-kes ini membiak dari semasa ke semasa. Tidak pernah menjadi tajuk berita. Nauzubillah
Tentu sahaja, hasil kewangan dari kenaikan pangkat dengan bekerja jauh dari pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada nilai material?

NILAI - HARGA - KORBAN
Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga. Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah harga yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu? Kehancuran rumah tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa... itulah harga yang mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan asas bekerja.
Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang, 'mereka adalah generasi yang kesunyian'.
Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki itu memberi sesuatu yang tiada diperolehi remaja tersebut di dalam keluarganya iaitu KASIH SAYANG dan PERHATIAN.
Malam ini saya mahu pelajar-pelajar yang hadir ke kuliah ini, melatih diri mereka dengan tabiat "Begin With the End in Mind". Lihatlah apa yang menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor perubatanjurutera dsb

TENTUKAN NILAI SEAWAL PERJALANAN
Maka, semenjak mereka di bangku pengajian, soal nilai yang ingin dibawa pada kerjaya di masa hadapan, mesti ditentukan.
Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah selagi mampu, kejarlah habuan material yang dikejar selama ini, tetapi anda perlu meneliti harga yang perlu dibayar. Perhatikan di mana korbannya? Harga dan korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit, dan yang paling besar, mungkin sistem itu sendiri.
Hati saya amat terhiris, mendengar kawan-kawan saya dan isteri, mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan doktor. Sama ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah seorang daripada mereka.

PROVOKASI DEMI MASA DEPAN
Atas provokasi inilah, saya mengajak sahabat - sahabat, untuk menyemak hubung kait bidang pekerjaan dengan Tujuan Hidup mereka. Kenang kembali siapa mereka di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi.
Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia yang disembah.Yang diabdikan diri kepada-Nya. Ia hablu     minaLlah.
Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaan-Nya, kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikan-Nya ke alam ini. Ia hablun minannaas.
Buat baik kepada sesama manusia, boleh dengan sedekah, boleh dengan memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan yang paling utama, adalah pada menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada kita. 
JIKA KERJA JADI IBADAH
Jika kerja jadi ibadah, Allah adalah 'CEO' kita. The unsung hero beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan.
Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya.
Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas perjalanan mencapai TUJUAN.
Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja.
Teruskan cita-cita kalian menjalani kerjaya masing-masing. Ia cara terbesar, kamu zahirkan syukur kepada-Nya.
Kita hamba-Nya, kita Khalifah-Nya.  

No comments