Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh dalam tahun Hijrah dan memiliki keutamaan yang penting dalam Islam. Bulan ini juga dipanggil sebagai bulan Mikraj kerana pada bulan ini terdapat peristiwa Israk dan Mikraj. Oleh itu, agama Islam menuntut umatnya untuk menghidupkan bulan ini dengan amalan-amalan ibadat.
Keutamaan bulan Rejab dan amalan yang wajar dilakukan dalam bulan ini boleh didapati melalui Hadis yang pelbagai. Bulan Rejab juga antara bulan yang dimuliakan oleh Islam dengan amalan sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan. Persediaan dalam menyambut bulan Ramadan dengan meningkatkan amalan pada bulan Rejab adalah amat membantu kepada pembentukan takwa seseorang Mukmin.
Peristiwa bulan Rejab
Banyak peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah antaranya:
(1) Peristiwa Isra’ Mikraj.
Peristiwa agung 27 Rejab iaitu Baginda Rasulullah S.A.W telah diperjalankan oleh Allah dari Makkah ke Baitul Maqdis di waktu malam dan ketika itu juga sekali lagi dibelahnya dada Baginda Rasul S.A.W. Kemudian diangkatnya Baginda Rasul ke langit bertemu Allah, dan Allah telah memerintahkan kewajipan ibadah solat 5 waktu kepada umat Baginda Rasul.
(2) Penghijrahan pertama ke Habsyah.
Akibat ditekan oleh Musyrikin Makkah, para Sahabat mengadu kepada Baginda Rasulullah S.A.W, lalu Baginda Rasul menyarankan umat Islam berhijrah buat kali pertama ke Wilayah Habsyah walaupun Raja Habsyah ketika itu bukanlah seorang Muslim, namun Raja Habsyah seorang yang baik dan menjamin keselamatan orang Islam.
(3) Peperangan Tabuk.
Berlaku pada tahun 9 Hijrah, dan tiada pertempuran apabila tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan serta kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi sebarang kesukaran, menempuh musim panas, terik, serta lokasi Tabuk yang sangat jauh (di antara Hijjaz dan Syam).
(4) Imam Syafie meninggal dunia.
Beliau merupakan salah seorang dari empat imam mazhab besar dalam dunia feqah dan pengasas kepada Mazhab Syafie. Beliau berasal dari Gaza dan dilahirkan juga pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan tahun pemergian Imam Abu Hanifah.
(5) Pembebasan kedua Baitul Maqdis.
Tentera Islam yang dipimpin oleh Solahuddin Al-Ayubi telah Berjaya menawan kembali Baitul Maqdis kali kedua (583 Hijrah) menewaskan tentera Salib yang menjajah kawasan tersebut selepas pembukaan pertama oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A.
Amalan sunnah di bulan Rejab
keutamaan bulan Rejab, ianya terdapat beberapa amalan yang dituntut untuk dilakukan pada bulan Rejab ini. Ringkasnya, terdapat beberapa amalan sunat yang dituntut untuk diperbanyakkan pada bulan Rejab ini, iaitu menghidupkan dengan Qiamullail seperti solat sunnah, membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, berselawat ke atas Nabi S.A.W, dan berdoa. Manakala siang hari bulan Rejab pula dituntut untuk berpuasa dan bersedekah. Pada asasnya semua amalan ini boleh dihidupkan di sepanjang bulan Rejab.
Seseorang boleh mengamalkan kesemua amalan ini dan tidak menentukan bahawa mesti dilakukan pada bulan Rejab dan apa yang lebih penting amalan tersebut semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Bagi tujuan mengamalkan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya meningkatkan amal soleh dan sebagai bekalan menuju Allah S.W.T.
Kesimpulan
Terbukti bahawa bulan Rejab merupakan bulan Haram yang merupakan bulan Allah S.W.T. Selaku hamba-Nya, umat Islam wajar membesarkan bulan ini dengan amalan yang dianjurkan dalam Islam untuk mengambil keberkatan.
Ringkasnya, seseorang Muslim boleh memilih untuk beramal mengikut kemampuan mereka masing-masing dengan mengusahakan semaksimum mungkin bagi mendapatkan keberkatan serta keredhaan dari Allah S.W.T dengan memperbanyakkan ibadah.
Baca juga : Israk Dan Mikraj
cik nor puasa sunat hari ni?
ReplyDeleteMarilah sama2 memperbanyakan berdoa
ReplyDelete