Breaking News

McDonald Malaysia Ringankan Beban Asnaf Dengan Membayar Zakat Korporat Berjumlah RM200,000 Kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)

Walaupun Hari Raya Aidiladha sudah berlalu tapi McDonald' Malaysia tidak lupa kewajipan mereka dalam membantu meringankan beban golongan asnaf di Negeri Kelantan. Pada 12 Julai 2022 bersamaan 12 Zulhijjah 1443M bertempat di McDonald's Kubang Kerian, Kelantan telah berlangsungnya Majlis penyerahan Zakat Korporat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan sumbangan Qurban kepada keluarga asnaf yang terpilih.

Pada majlis tersebut McDonald's Malaysia telah membuat pembayaran zakat korporat berjumlah RM200,000  kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta melaksanakan ibadah qurban dan mengagihkan daging qurban kepada golongan asnaf dengan kerjasama MAIK. Pembayaran zakat korporat ini merupakan jumlah tertinggi yang pernah dibayar kepada Negeri Kelantan sejak McDonald's Malaysia mula membayar zakat korporat pada tahun 2017.

McDonald's Malaysia sehingga kini telah menyumbangkan 22 ekor lembu bagi ibadah qurban untuk beberapa buah negeri. Daripada jumlah itu 12 ekor adalah khusus bagi Negeri Kelantan sahaja. Ia merupakan jumlah yang terbanyak setakat ini, di mana pembahagian daging telah diagihkan kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti oleh pihak MAIK.

Pada majlis tersebut Dato' Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia menyatakan sempena Hari Raya Aidiladha, adalah menjadi harapan mereka dengan pengagihan daging qurban ini dapat meringankan beban keluarga asnaf serta menberi peluang kepada mereka untuk sama-sama meraikan hari raya ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Dengan adanya aktiviti kemasyarakatan seperti ini, McDonald's Malaysia dapat mewujudkan impak positif dalam komuniti di mana mereka beroperasi seperti di Kubang Kerian ini. Memberi sumbangan kepada golongan memerlukan merupakan salah satu nilai teras syarikat yang sentiasa di utamakan ujurnya lagi.

Majlis pembayaran zakat korporat dan sumbangan qurban ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan merupakan Yang Dipertua MAIK sebagai wakil penerima sumbangan zakat korporat McDonald's Malaysia daripada Dato' Azmi Jaafar.

Sehingga tahun ini, McDonal's Malaysia telah membayar zakat perniagaan berjumlah RM9.85 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia sejak syarikat ini mula membayar zakat  enam tahun lalu. Pada majlis itu juga McDonald's Malaysia berkesempatan mengagihkan daging qurban dan sumbangan duit raya kepada 20 wakil keluarga asnaf yang diraikan bersama didalam majlis tersebut.

Manakala dalam ucapan Yang Berhormat Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam, mengucapkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga  bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kepada McDonald's Malaysia kerana mencari inisiatif yang bagus untuk menyebarkan amal soleh dan mengadakan majlis seperti ini. Beliau amat bersyukur dengan sumbangan zakat korporat dari McDonald's Malaysia kepada MAIK dan sumbangan lembu-lembu korban kepada masyarakat Islam Kelantan mampu meningkatkan darjat ketakwaan kita kepada Allah SWT di samping membantu meringankan beban golongan asnaf khususnya di negeri Kelantan.

McDonald's Kubang Kerian di mana berlangsungnya majlis merupakan restoran terbaru McDonald's di Kelantan yang telah memulakan operasi pada Mac tahun lalu. Selain dapat menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan di sekitar lokasi restoran ini, McDonald's juga berharap dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, seterusnya meningkatkan tahap ekonomi keluarga.

Selain membayar zakat, McDonald's Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation untuk terus mendukung komitmen Halal dan melibatkan diri dalam aktiviti Halal dalam semua aspek perniagaan. McDonal's Malaysia juga terlibat secar aktif dalam pelbagai program Halal termasuklah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia(MIHAS), HALFEST dan World Halah Conference.

No comments