Penggunaan kunyit dalam masyarakat sememangnya diketahui umum. Masakan bertambah seri dan enak, serta menjadi perasa untuk beberapa jenis lauk harian. Namun tahukah anda bahawa kunyit mempunyai tugas lebih daripada peranannya di dapur? Ha si cantik semua mesti suka ini. Kunyit banyak manfaatnya termasuk untuk kecantikan.

Kunyit menerusi beberapa kajian, telah terbukti mempunyai bermacam-macam khasiat perubatan. Kandungan antiseptik yang terdapat pada kunyit mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka kecil, kecederaan dan melecet. Disebabkan kesannya yang menakjubkan pada kulit, pakar kecantikan dari seluruh dunia kini mula menyedari dan menggunakannya ke dalam produk kecantikan masing-masing.

Tidak hairanlah jika kita dapat lihat krim-krim pengecut jerawat berasaskan kunyit. Dan secara tradisionalnya, memang ramai dah gunakan kaedah menumbuk kunyit untuk 'ditepekkan' ke muka bagi mengecutkan jerawat. Malah bukan itu sahaja. Kunyit juga dipercayai ada khasiat berguna dalam membantu rawatan penyakit seperti kanser dan Alzheimer. Siapa sangka begitu banyak kegunaannya bukan.

Sejak zaman purba lagi, masyarakat India dikatakan sudah menyedari kebaikan kunyit ini kepada kulit. Ia adalah sumber vitamin C dan magnesium yang baik, kandungan serat yang tinggi, vitamin B6, zat besi, potasium dan mangan serta kandungan sodium yang sangat rendah. 

Tip 'mengunyit' di rumah
Anda tidak perlu bimbang terpaksa berbelanja besar untuk mencuba kaedah rawatan kunyit. Ia boleh dilakukan dengan sangat mudah dan murah dengan keselesaan di rumah sendiri. Serbuk kunyit boleh diguna­kan dan dicampur sedikit  air atau jus limau nipis. Sapukan pada wajah bagi membantu kulit lebih berseri, selain mengurangkan masalah tompokan pigmen dan seterusnya meratakan warna kulit. 

Jus kunyit juga boleh dibuat dengan hanya blend kunyit hidup dengan air masak, tapis dan hidangkan dengan sedikit asam keping dan gula melaka. Jika diamalkan, ia dikatakan mampu memperbaiki sistem dalaman tubuh badan.

Anda juga boleh mencuba scrub kunyit dengan mencampurkannya bersama tepung dan air. Sesudah itu mulakan tugas menyental ke seluruh badan sebelum mandi. Ia dikatakan dapat membuang sel kulit mati dan membuatkan kulit menjadi mulus dan sekata warnanya.

Banyak lagi kelebihan kunyit dan kami yakin ada lagi petua-petua yang tersembunyi yang anda tahu. Jika anda ada petua lain melibatkan kunyit, kongsikan dengan kami di ruangan comment di bawah ini. Sama-samalah kita menjadi segar dan cantik dengan kunyit. Jom mengunyit.

Cc: krangkraf