KELAB BLOGGER BEN ASHAARI

Followers

Wednesday, April 20, 2011

22 Pembelajaran Bermula Di Rumah

22
Posted on Saturday, January 22, 2011 in Tazkirah
Memulakan persekolahan bukan bermakna bermula tarbiah insan kerana pendidikan awal bermula dari rumah, tetapi ia tidak berlanjutan begitu kerana sistem pendidikan rasmi yang menjadualkan setiap orang wajib bersekolah apabila berusia tujuh tahun.
Waktu di rumah walaupun berkualiti tidak mengizinkan proses pembelajaran yang sempurna dan kesibukan ibu bapa terhadap kerjaya memerlukan bantuan serta pengorbanan guru untuk mentarbiahkan anak menjadi insan cemerlang.
Namun, tetap menjadi kewajipan ibu bapa untuk memulakan pendidikan anak dengan memperkenalkan mereka kepada yang Maha Mencipta.
Firman Allah bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu Yang Maha Pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya.” (Surah al-Alaq : Ayat 1-5)
Jelaslah dalam konteks manusiawi, pendidikan bermula daripada proses penerokaan menggunakan akal disertai asas agama yang kukuh. Antaranya, memulakan proses pencarian ilmu dengan menyebut nama Allah untuk mendapatkan keredhaan dan keberkatan-Nya.
Sesiapa memulakan sesuatu pekerjaan dengan menyebut nama Allah, Insya-Allah akan dapat mengelak dari terpesong daripada matlamat sebenar.
Setiap pelajar mengharapkan kejayaan, malangnya ada yang tidak tahu caranya. Segelintir, menyerahkan bulat-bulat kepada guru untuk dibimbing dan dididik. Apabila berjaya, ibu bapa pula mendabik dada hingga terlupa jasa guru.
Malangnya, apabila tidak lagi menghuni sekolah, anak membawa haluan sendiri, mencorak masa depan sesedap hati, sehingga akhirnya mempertaruhkan ilmu yang diperoleh.
Masih ada ibu bapa yang sedar kepentingan memberi perhatian dan membantu guru memperkasa sekolah serta persatuan, mengambil tahu kegiatan aktiviti anak serta tidak lokek masa menjengok anak di sekolah.
Tentulah anak berasa bangga dan berbesar hati dengan perhatian diberikan ibu bapa, lalu menaruh cita-cita untuk membuktikan kemampuan diri kepada semua.
Manusia tidak boleh diukur dengan fizikal mereka yang serupa untuk menentukan kualiti. Cacat cela zahirnya pula tidak mengesahkan mereka bodoh dan tidak berakhlak.
Itulah susahnya menjadi pendidik yang perkasa di pusat pentarbiahan insan. Mereka mesti melahirkan manusia yang mempunyai mental dan peribadi berkualiti tinggi yang tidak boleh diukur dengan pandangan mata.
Guru yang bakal meneruskan tarbiah kepada anak terdidik dengan permulaan baik tentunya tidak mempunyai masalah kerana cabaran kehidupan sosial semakin meruntun tidak akan menggugat peribadi serta sikap yang baik.
Tambahan pula, mencari ilmu adalah tuntutan besar agama kerana ia aset dan bekalan kepada setiap individu dalam mengharungi kehidupan penuh liku.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlu berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlu dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu.” (Hadis riwayat Muslim)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...